KUCHING: Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan (MIETI), Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan berkata, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) memperuntukkan RM200 juta sejak 2012 di bawah Dana Mudah Cara bagi membantu syarikat Bumiputera di Sarawak.

Sebanyak RM144 juta diluluskan kepada 48 syarikat Bumiputera tempatan.

Sementara, bantuan Dana Mudah Cara tersebut disalurkan untuk 61 projek bernilai RM983 juta.

Melalui Program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras), Teraju berusaha membantu syarikat Bumiputera yang berinisiatif di peringkat global.

Semasa ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Selasa, Awang Tengah berkata kerjasama Teraju dan MIETI berjaya memberi khidmat nasihat, dana pinjaman dan geran serta promosi dan pemasaran kepada 84 syarikat.

Sementara, Teraju menyediakan peruntukan tambahan RM100 juta lagi bagi Program Dana Mudah Cara 2017.

Untuk melahirkan akauntan Bumiputera bertauliah, dengan kerjasama Yayasan Sarawak, Teraju melaksanakan Program Pendidikan Certified Accounting Technicians/Association of Chartered Certified Accountants (CAT/ACCA).

Menurut Tengah juga, Teraju bersama Ekuiti Nasional (Ekuinas) menjalankan Program Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB) sehingga Syarikat Serba Dinamik Group Bhd yang terlibat industri minyak dan gas berjaya disenaraikan dalam Bursa Saham Malaysia. – Sarawakvoice

Leave a Reply