SPDP sokong RUU 355 Pas

KUALA LUMPUR: Sebahagian daripada parti komponen Barisan Nasional telah mulai memperlihatkan perubahan dari segi pendirian terhadap pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) oleh Pas.

Jika sebelum ini, ada yang kelihatan mahu bertegas tidak akan menyokong pindaan berkenaan, tetapi sejak beberapa hari lalu, sudah mulai kedengaran perubahan pendirian.

PAS menyambut baik pendirian Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Datuk Seri Tiong King Sing apabila menyatakan sokongan kepada yang diusulkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kini, sebuah parti dari Sarawak, SPDP yang dipimpin oleh Datuk Seri Tiong King Sing dilaporkan akan menyokong  pindaan  RUU355 yang dibentangkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul  Hadi Awang.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak parti itu, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, pendirian  SPDp seperti dinyatakan King Sing untuk tidak campur tangan dilihat rasional dan berfakta tanpa emosi.

Kelmarin,  Tiong menjelaskan bahawa Akta 355 bukan undang-undang hudud dan pindaannya hanya membabitkan kepentingan Islam.

Beliau dipetik sebagai berkata, empat Ahli Parlimen SPDP tidak akan membantah jika pindaan itu dimahukan oleh orang Islam.

“Kenapa kami mahu campur tangan, kami bukannya tahu sangat tentang agama orang Islam,” kata Ahli Parlimen Bintulu itu.

Dr Mohd Khairuddin dalam satu kenyataan  mengalu-alukan pendirian Tiong yang disifatkannya sebagai rasional.

“Ia merupakan pendirian yang sangat rasional dan berfakta tanpa emosi daripada seorang pemimpin politik bukan Islam,” katanya.

Khairuddin berkata, pihaknya mengharapkan lebih ramai lagi pimpinan politik bukan Islam mengambil sikap yang sama.

“Ia perlu rasional tanpa emosi dalam memberikan hak kepada rakyat Muslim dalam mengamalkan hak beragama mereka menurut lunas perlembagaan,” katanya. – Sarawakvoice

Leave a Reply