KUCHING: Mangsa-mangsa tragedi dan bencana yang berlaku di negeri Sarawak kini boleh menarik nafas lega apabila Kerajaan Negeri meluluskan untuk menambah baik skim bantuan bencana yang diberikan kepada mereka.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komunti, Datuk Fatimah Abdullah berkata, peningkatan bantuan ini adalah sebanyak seratus-peratus, malah dalam sesetengah keadaan adalah jauh melebihi bantuan yang sedia ada.

“Bermula Januari depan, mangsa bencana di negeri ini akan menerima bantuan wang saku sebanyak RM100 seorang, berbanding RM40 ketika ini.

“Malah mereka juga layak menerima bantuan pakaian harian sebanyak RM200 seorang berbanding RM70 sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Dewan Undangan Negeri Sarawak semalam.

Menurut Fatimah, bagi para pelajar, mereka akan menerima bantuan pakaian sekolah bernilai RM200 setiap seorang berbanding RM70 sebelum ini manakala bantuan peralatan sekolah adalah sebanyak RM100 seorang berbanding RM50 sebelum ini.

“Kita juga menambah baik item-item bantuan keperluan segera yang kini turut melibatkan tilam, bantal, selimut dan tikar,” tambahnya.

Sebagai kerajaan yang prihatin katanya, bantuan sewa rumah turut diperkenalkan sebagai alternatif kepada bantuan bahan binaan bagi mangsa yang rumahnya musnah akibat bencana.

“Namun ia pada kadar yang tidak melebihi RM5,000 setahun bagi mereka yang memerlukan,” jelasnya.

Tambahnya, bantuan sewa rumah, bantuan binaan dan bantuan pemulihan perniagaan kecil turut dipertimbangkan kepada mangsa yang berpendapatan purata isi rumah di bawah RM4,000 sebulan.

Antara bencana yang kerap berlaku di Sarawak sepanjang tahun ialah tragedi kebakaran dan banjir. – Sarawakvoice

Leave a Reply