KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) akan terus komited untuk menyokong pembangunan pendidikan masyarakat Penan di Belaga dan mereka yang terjejas kerana kerja-kerja pembinaan empangan hidroelektrik di Murum.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Sarawak Energy, Sharbini Suhaili berkata, untuk tujuan tersebut pihaknya telah memberi sumbangan berterusan kepada Tabung Amanah Bakun untuk tahun kedua.

Majlis penyampaian sumbangan berbentuk cek bernilai RM200 ribu itu berlangsung semalam, dengan Sharbini menyerahkannya kepada Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing , yang juga Pengerusi tabung amanah tersebut di pejabatnya di Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Sumbangan ini merupakan lanjutan satu majlis menandatangani persefahaman yang melibatkan Sarawak Energy dan Tabung Amanah Bakun pada tahun lepas sebagai sokongan kepada anak-anak Penan Daerah Belaga, terutamanya mereka yang terjejas oleh Projek Empangan Murum untuk melanjutkan pelajaran.

Menerusi MoU tersebut, dana khas pendidikan bernilai RM200 ribu disumbangkan secara tahunan dan diletakkan di bawah tabung amanah tersebut.

Inisiatif ini juga bertujuan meningkatkan moral dan motivasi para pelajar di kawasan ini untuk kerap hadir ke sekolah dan berjuang bagi mencapai kejayaan cemerlang dalam pendidikan.

Sharbini berkata, Sarawak Energy gembira dengan pelaburan pendidikan ini yang mula membuahkan hasil selepas setahun persefahaman dimeterai.

“Pada tahun 2016, seramai 266 murid daripada dua sekolah rendah di Murum menerima hadiah insentif kerana keputusan akademik dan mereka mewakili 80 peratus daripada pelajar di sekolah-sekolah berkenaan.

Pelaburan itu juga katanya, merupakan pelaburan sosial dan sokongan untuk menyediakan komuniti ini kepada alam pekerjaaan.

“Ini terbukti apabila 17 anak Penan telah tamat menyertai latihan tujuh bulan di Pusat Kecemerlangan Teknikal di Kuching.

Sejumlah enam kampung Penan dan sebuah kampung Kenyah Badeng dari Pusat Penempatan Semula Murum dan 19 komuniti Penan lain di sekitar Daerah Belaga merupakan golongan yang layak menerima bantuan ini.

“Dana RM200 ribu itu akan digunakan untuk beberapa tujuan, antaranya sebagai insentif untuk kehadiran dan kecemerlangan pelajar di sekolah rendah dan menengah.

“Ia juga digunakan sebagai dana bantuan bagi mereka melanjutkan pelajaran di peringkat sijil dan diploma di pusat pembangunan dan institusi pengajian tinggi yang diiktiraf di negara ini.

Pada masa yang sama kata Sharbini, ia juga boleh digunakan untuk menyediakan program pembangunan pendidikan, yang amat diperlukan oleh penduduk di kawasan tersebut.

Leave a Reply