Sarawak terus jadi lubuk emas pelabur asing – Awang Tengah

KUCHING: Sarawak akan terus menjadi ‘lubuk emas’ pelabur asing, apabila menjadi pilihan untuk mereka menanam modal dalam pelbagai produk untuk sektor pengeluaran.

Menteri Pembangunan Perindustrian & Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini terbukti apabila sehingga Ogos lalu, sebanyak 12 pelabur asing telah diberikan kelulusan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk menanam modal di negeri ini.

“Jumlah pelaburan mereka secara terkumpul adalah sebanyak RM2.3 bilion, dengan RM1.6 bilion lagi adalah menerusi pelaburan langsung asing (FDI) manakala RM760 juta menerusi pelaburan langsung domestik (DDI),” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Penyelarasan Perindustrian Negeri (ICC) telah mengikrar sokongan terhadap pelaburan bernilai RM 4.8 bilion.

“Ada empat projek yang bernilai keseluruhan RM2.5 bilion belum lagi mendapat kelulusan dan dilaporkan oleh MIDA,” jelasnya.

Menurutnya, berdasarkan jumlah yang diumumkan itu, sektor yang terlibat melibatkan produk elektronik dan elektrikal sebanyak RM1.61 bilion, produk kimia RM529 juta dan Produk Asas Logam RM137 juta.

“Kesemua projek ini dijangka mewujudkan 3,000 peluang pekerjaan di seluruh negeri.

Dalam tempoh yang sama katanya, ICC turut meluluskan 40 projek bernilai RM104.7 juta untuk pelaburan bagi produk mineral bukan logam, produk kimia dan produk berasaskan kayu.

Pelaburan ini dijangka menghasilkan sekitar 800 peluang pekerjaan di negeri ini.

“Dalam misi dagang ke China baru-baru ini, pihak kami telah berjaya menarik minat pelabur negara itu untuk membuat pelaburan penting dalam sektor keluli (US$3 bilion), biomass (US$100 juta) dan industri sokongan solar,” jelasnya lagi.

Berkaitan perdagangan, Awang Tengah berkata, sejumlah RM123.2 bilion transaksi perdagangan telah berlaku di negeri ini sepanjang tahun lalu.

“Dan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, nilai transkasi yang dicatatkan adalah sekitar RM84 bilion,” jelasnya.

Pada tahun lalu, negara-negara yang menjadi rakan dagang Sarawak termasuklah Jepun (28.1 peratus), Semenanjung Malaysia (26.1 peratus), Republik China (9.7 peratus), Republik Korea (7.9 peratus) dan Taiwan (4.8 peratus). – Sarawakvoice

Leave a Reply