KUCHING: Sepanjang tahun 2015, rakyat Sarawak menghasilkan sejumlah 700 ribu tan sisa buangan, kata Menteri Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Sim Kui Hian.

Menurutnya, jumlah itu akan terus meningkat kerana populasi penduduk di negeri ini sedang berkembang.

“Sehubungan itu, kita memerlukan kaedah dan strategi baharu untuk menguruskan sisa buangan kita secara berkesan,” katanya.

Jelasnya, menerusi kaedah konvensional, kerajaan akan menyediakan tapak pelupusan sampah namun keadaan ini ternyata tidak lagi popular di samping mengganggu kelestarian alam sekitar.

“Kaedah kitar semula sisa buangan menjadi pendekatan yang lebih sesuai bagi mengatasi masalah ini.

Berdasarkan kajian berhubung ciri komposisi sisa pepejal dan amalan sedia ada kitar semula sisa pepejal di Malaysia pada tahun 2012 oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, sebanyak 10 peratus responden di Semenanjung Malaysia telah mengamalkan kaedah kitar semula berbanding Sarawak, sekitar 7.1 peratus.

Sehubungan itu kata Kui Hian, penting untuk penduduk Sarawak kini memikirkan secara serius akan kaedah untuk menguruskan sisa buangan mereka secara lebih berstruktur.

“Kementerian saya berkemungkinan akan membangunan lebih banyak stesen pengumpulan yang juga stesen pemulihan sisa buangan bagi membolehkan tapak pelupusan hanya digunakan untuk menangani sisa-sisa berjadual.

“Kita juga akan menyusun semula tapak-tapak pelupusan ini agar lebih kos efektif,” katanya lagi.

Kui Hian yang ditemui di Dewan Undangan Negeri Sarawak berkata, pihaknya akan mendidik peniaga di pasar-pasar milik Majlis dan untuk melakukan komposisi dan kitar semula.

“Ahli majlis telah diminta untuk mencari model yang sesuai untuk tujuan ini, termasuk mewujudkan situasi di mana para peniaga boleh menguruskan sisa buangan mereka sendiri tanpa bergantung kepada pihak majlis. – Sarawakvoice

Leave a Reply