Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung selama empat hari bermula pada Khamis menjadi sesuatu yang signifikan dalam politik Malaysia.

Signifikannya bukan disebabkan persidangan itu mendapat liputan yang meluas daripada pelbagai media, tetapi disebabkan perjuangan orang Melayu menerusi parti UMNO yang semakin getir dan mencabar dalam segala lapangan kehidupan.

Kolumnis: Dr. Kassim Thukiman
Kolumnis: Dr. Kassim Thukiman

Perkara yang paling mustahak ialah sejauh mana UMNO boleh meneruskan kelangsungannya dalam arus perdana politik Malaysia. Banyak pihak juga menilai sejauh mana UMNO berjaya membentuk masyarakat Melayu yang maju dalam pelbagai bidang.

Pelbagai cabaran yang dihadapi oleh UMNO kini memerlukan kepemimpinan yang gagah, berwawasan, berwibawa, dan berketerampilan. Pemimpin UMNO jangan membiarkan persidangannya dipenuhi dengan suasana glamor dan pidato retorik. Rakyat sudah letih untuk mendengar pelbagai ucapan dan pidato yang berapi-api.

Pemimpin-pemimpin UMNO harus mampu menangani pelbagai isu dan masalah yang dihadapi oleh rakyat.  Pemimpin UMNO perlu menyelesaikan masalah rakyat kerana itu lebih dihargai oleh rakyat.

Walaupun UMNO merupakan parti orang Melayu, tetapi UMNO ialah tulang belakang Kerajaan Barisan Nasional  (BN) yang memerintah. Justeru kepemimpinan dan ahli UMNO perlu meluaskan ‘world view’ dalam gerakan dan dimensi politiknya agar segala usaha, insiatif dan dasar yang dibentuk bersifat nasional dan global.  Seluruh rakyat Malaysia perlu disantuni dengan bijaksana.

UMNO ialah pertubuhan siasah yang bersejarah dan berjasa. Sejak penubuhannya pada 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor Bahru, kepemimpinan UMNO telah memainkan peranan yang sangat signifikan dalam memperjuangkan kemerdekaan.

Setelah merdeka, UMNO juga mendepani pelbagai usaha untuk mengisi agenda kemerdekaan di seluruh negara. Dato’ Onn Jaafar pernah menyatakan bahawa tanggungjawab UMNO amatlah berat dan besar terhadap rakyat dan negara.

Rakyat pula amat mengharapkan pemimpin UMNO menjelmakan impian rakyat dalam sebuah negara merdeka. Ia meliputi mengukuhkan perpaduan nasional, menyediakan pelbagai kemudahan awam untuk rakyat, memastikan rakyat mendapat pendidikan, membangunkan ekonomi dan negara, menyebarkan syiar Islam dan meneroka hubungan di peringkat global.  

Dalam pada itu, sejarah juga merakamkan UMNO menghadapi pelbagai isu dan krisis kepemimpinan. Tahun 1951, UMNO kehilangan Dato’ Onn. Tunku Abdul Rahman pula meletakkan jawatan pada 1970 selepas peristiwa 13 Mei 1969.

Pada tahun 1988, krisis berlaku menyebabkan tertubuhnya Parti Melayu Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah.  UMNO berpecah lagi apabila kewujudan Parti Keadilan Rakyat pada 1998 selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kini UMNO berpecah lagi selepas pemecatan Tan Sri Mahyuddin Mohd Yassin sehingga tertubuhnya Parti Peribumi  Bersatu Malaysia.

Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengasaskan UMNO Baru pada 1988 juga bertindak keluar dari UMNO. Datuk Seri Shafie Afdal pula mengetuai parti baharu Warisan di Sabah.  

Jelasnya, kesemua ini menggambarkan UMNO bukan sahaja menghadapi persaingan politik dengan pihak lawan, tetapi masalah politik dalaman. Hal ini perlu ditangani dengan bijaksana oleh kepemimpinan UMNO masa kini.  

Sebenarnya UMNO tidak ada pilihan. Pilihan raya umum ke-14 semakin dekat. UMNO perlu menyelesaikan masalah dalaman parti. UMNO perlu membuat transformasi untuk parti dan kerajaan. UMNO mesti berkhidmat untuk rakyat. UMNO perlu menyatukan orang Melayu dengan tema ‘Melayu Bersatu”. UMNO perlu merealisasikan agenda Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju mengikut acuan sendiri.

Justeru, UMNO perlu mengambil kira cadangan daripada Konvensyen UMNO Johor baru-baru ini. UMNO perlu menangani dan menyelesaikan tiga cabaran utama.

Pertama, UMNO perlu melakukan transformasi pemikiran dan agenda Melayu.

Kedua, UMNO mesti memacu segala usaha untuk membentuk Melayu maju secara inklusif menerusi pendidikan termaju.

Ketiga, UMNO perlu memastikan bangsa Melayu kembali kepada budaya dan agama Islam. Kata Menteri Besar Johor, siapa lagi yang hendak bertanggungjawab memajukan bangsa Melayu, kalau bukan UMNO!!! – Sarawakvoice

Leave a Reply