Parti baru tumbuh gigi sedang bergelut rampas kuasa – PAS

KUALA LUMPUR: Pas sedang berusaha mengislah, mereformasi atau mentransformasikan budaya berpolitik di Malaysia ke arah budaya politik matang dan sejahtera, kata Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Mohd Zuhdi Marsuki.

Menurut Mohd Zuhdi, budaya politik matang dan sejahtera ini akan menghindarkan pertembungan politik zero-sum game, seterusnya meletakkan kepentingan agama, negara dan rakyat mengatasi kepentingan politik untuk mengekalkan kuasa atau untuk merampas kuasa.

“Ketika mana kebanyakan parti termasuklah parti yang ‘baru tumbuh gigi’ sedang bergelut untuk mengekalkan kuasa atau untuk merampas kuasa, Pas sedang mengorak langkah untuk menerajui satu budaya politik baru ke arah kesejahteraan dan kebaikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Pas  yakin rakyat negara ini sudah jemu berpolitik dengan budaya mentah dan sengsara yang tidak lagi mempunyai masa depan.

Beliau mengakui sebagai salah sebuah parti politik yang tertua di Malaysia,  parti Islam itu telah melalui pelbagai episod politik, bermula dari zaman sebelum merdeka sehinggalah hari ini.

Dalam kalangan parti pembangkang, Pas adalah satu-satunya parti politik sebelum merdeka yang masih utuh mengharungi cabaran-cabaran politik Malaysia.

“Politik Malaysia kini sudah tepu dan buntu,” katanya lagi.

Pertembungan zero-sum game  dalam politik menurut beliau, telah mengheret sekelompok rakyat untuk turut berpihak.

“Sebilangan rakyat berpihak kepada BN dan sebilangan rakyat pula berpihak kepada Pakatan Harapan. Kadangkala pertembungan antara kedua-dua belah pihak ini berlaku secara fizikal, sepertimana yang ditunjukkan oleh Baju Kuning dan Baju Merah,” ujarnya.

Kumpulan Baju Kuning majoritinya adalah masyarakat bukan Melayu, manakala kumpulan Baju Merah hampir keseluruhannya masyarakat bumiputera Melayu.

“Hampir-hampir sahaja pertembungan seperti ini boleh dikaitkan dengan ketegangan antara kaum sekiranya tidak dibendung. Sebenarnya, dengan membiarkan pertembungan zero-sum game ini, membawa aliran politik negara berundur jauh ke belakang,” tambahnya.

“Natijahnya, apa sahaja yang dikemukakan oleh kerajaan mesti dibangkang dan apa sahaja yang dikritik oleh pembangkang mesti dikekang, seperti sudah menjadi kebiasaan di dewan-dewan yang disebut mulia oleh kedua-dua pihak. Tidak mustahil sedikit masa lagi akan ada wakil rakyat yang bertembung secara fizikal di dalam dewan-dewan yang mulia ini,” katanya lagi.

Katanya, ketepuan dan kebuntuan politik seperti ini tidak akan berpenghujung sekiranya masing-masing dengan sikap begar dan tegarnya.

“Wajah politik Malaysia mesti dipugar dan disegarkan kembali dengan budaya berpolitik yang matang dan membawa kesejahteraan kepada negara.

Politik yang matang dan sejahtera ini mesti dimulakan dengan meletakkan kembali tunjang-tunjang penting dalam berpolitik, iaitu akar umbi budaya dan kontrak sosial yang membentuk negara Malaysia seperti yang terangkum di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – Sarawakvoice

Leave a Reply