Mesyuarat kedua penurunan kuasa esok, akan bincang perkara hak kewangan, minyak dan tanah – Tok Nan

KUCHING: Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal bagi merincikan bahagian kedua penurunan kuasa daripada Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri akan diadakan esok, kata Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

Menurutnya, mesyuarat tersebut akan membincang tiga perkara utama iaitu pertama – kewangan, kedua – eksplorasi minyak, perlombongan dan gas dan ketiga – tanah dan hasil daripadanya.

“Berhubung kewangan, antara isu yang dibincangkan termasuklah semakan semula kewangan di bawah Artikel 112D Perlembagaan Persekutuan; duti import dan duti eksais berhubung produk petroleum dan tanggungjawab kewangan persekutuan berhubung perbelanjaan perkara yang termaktub dalam senarai bersama,” jelasnya ketika menyampaikan penggulungan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, sebentar tadi

Menurut Adenan lagi, di bawah agenda berkaitan eksplorasi minyak, perlombongan dan gas, perkara yang dibincangkan akan menyentuh perihal mineral, minyak dan telaga minyak, selain pengedaran gas.

“Di bawah perkara tanah, perbincangan akan meliputi duti setem yang dikenakan oleh Kanun Tanah untuk perpindahan, caj dan sewaan tanah dikembalikan kepada negeri Sarawak.

Tegasnya, proses rundingan masih lagi berlaku dengan mengikuti keutamaan yang telah disenaraikan.

“Perkara yang tidak berada dalam senarai keutamaan pula akan ditangani kemudian sebaik perkara-perkara yang penting itu selesai dirundingkan,” katanya. – Sarawakvoice

7467891d-6be8-4d38-b59c-d8da462878f0

Leave a Reply