KUANTAN: Pelajar lepasan Kolej Komuniti dan Politeknik di negara ini mempunyai kebolehpasaran kerja yang tinggi, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching.

Beliau berkata berdasarkan rekod tahun lalu, 97.4 peratus lepasan pelajar dari Kolej Komuniti berjaya mendapat pekerjaan manakala lepasan pelajar Politeknik yang memperoleh kerja adalah hampir 80 peratus.

“Kementerian Pendidikan Tinggi bangga dengan rekod kebolehpasaran kerja ini dalam kalangan pelajar lepasan Kolej Komuniti dan Politeknik di negara ini,” katanya pada sidang media di Majlis Anugerah Gemilang Politeknik dan Kolej Komuniti (AGPKK) 2016 di sini, malam tadi.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, Datuk Amir Md Noor. Yap berkata kementeriannya yakin kadar kebolehpasaran kerja itu akan meningkat 100 peratus tahun depan. “Dalam rekod kejayaan pelajar dari Kolej Komuniti dan Politeknik pun sudah ada yang mengikuti pertandingan pada peringkat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sehingga kini terdapat 93 Kolej Komuniti dan 34 Politeknik di seluruh negara yang menawarkan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan kementerian menjangkakan lebih 1.3 juta pekerjaan diperlukan dalam sektor kemahiran menjelang 2020.

Mengenai majlis anugerah itu, Yap berkata ia julung kali dianjurkan untuk mengiktiraf kejayaan pelajar cemerlang Kolej Komuniti dan Politeknik sekali gus menghargai usaha mereka untuk mencapai kecemerlangan dan menjadi individu berkualiti dalam dunia pekerjaan sebenar.

“Ini selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi negara yang mana Kementerian Pendidikan Tinggi ingin melahirkan lebih ramai pelajar yang berkemahiran dalam bidang TVET,” katanya.

Beliau berkata seramai 110 penerima termasuk kakitangan Kolej Komuniti dan Politeknik yang cemerlang dalam pelbagai kategori antaranya akademik, kokurikulum dan kesukarelawan diraikan dalam majlis anugerah berkenaan.

Dalam pada itu, Amir berkata antara kejayaan pelajar Kolej Komuniti mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa apabila seorang pelajar Orang Kelainan Upaya dari Kolej Komuniti Selayang berjaya meraih tempat kelima daripada 24 peserta dari 12 negara pada International Abilympics Competition di Perancis, Mac lalu.

Selain itu, beliau berkata dua pelajar politeknik iaitu dari Politeknik Ibrahim Sultan, Johor dan Politeknik Syed Sirajuddin, Perlis telah terpilih mewakili negara ke World Skills Competition di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), tahun depan. Bernama

Leave a Reply