KUALA  LUMPUR: Pusat Dagangan Dunia KL Putra (KL PWTC) yang baharu bakal menjadi ikonik ibu negara dan  menampilkan persekitaran bersepadu merangkumi hotel, pejabat 70 tingkat dan dewan baharu selain sebuah masjid yang boleh menampung sebanyak 5,000 jemaah.

Bangunan menara setinggi 70 tingkat itu dibangunkan sempena 70 tahun usia UMNO.

Kerja-kerja fizikal dijadual dimulakan pada 11 Mei 2017 bersempena tarikh kelahiran UMNO.

Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bangunan yang bakal menjadi ibu pejabat baharu UMNO diharap menjadi pembakar semangat anggota parti untuk terus berjuang demi bangsa, agama dan negara.

“Ia adalah lambang kesetiaan, keikhlasan dan semangat anggota UMNO dalam memartabatkan perjuangan orang Melayu. Ini adalah hari bersejarah buat kita pewaris pimpinan UMNO,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah pembangunan KL PWTC di sini Isnin.

Najib berkata dengan pembinaan ibu pejabat baharu itu, Dewan Tun Razak sedia ada akan dijadikan dewan dua tingkat manakala Dewan Merdeka, Dewan Tun Hussein Onn dan Dewan Tun Dr Ismail dinaik taraf sebagai pusat urusan perniagaan setempat serta acara korporat.

Menurut beliau tema seni bina projek transformasi itu diilhamkan daripada pakaian tradisional Melayu yang diambil daripada corak dan lipatan unik pada samping, lok keris serta ukiran hulu keris.

“Ia adalah lambang kesetiaan, keikhlasan dan semangat anggota UMNO dalam memartabatkan perjuangan orang Melayu,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussin menyifatkan projek itu sebagai signifikan kepada perjuangan UMNO yang telah lama berbakti kepada negara. – Sarawakvoice

Leave a Reply