KUCHING: Sarawak akan meneruskan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan dan Petronas bagi meningkatkan bayaran royalti minyak daripada lima kepada 20 peratus, kata Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

Menurutnya, ketika ini proses rundingan sedang berjalan lancar dan beberapa perkara telah disepakati.

“Antara bidang rundingan termasuklah perkara berkaitan sektor tenaga dan bukan tenaga melibatkan pembekalan gas asli, ekuiti dan royalti serta kontrak dan peluang perniagaan.

“Kita juga berbincang mengenai tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta sumber manusia, pendidikan dan latihan teknikal,” katanya pada ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri Sarawak pagi tadi.

Adenan berkata, berkaitan dengan pembekalan gas asli, Petronas telah menandatangani lima perjanjian untuk menyokong pembangunan industri petrokimia dan kuasa di negeri ini.

“Menerusi perjanjian-perjanjian ini, Petronas bersetuju untuk membekalkan 45 juta scf gas asli setiap hari kepada Sarawak untuk pembangunan sektor tenaga dan bukan tenaga di negeri ini.

“Kita kini sedang berunding untuk pembekalan lebih gas asli dari Petronas, yang sekali gus akan menarik lebih pelaburan untuk industri petrokima ke Bintulu,” jelasnya lagi.

Usaha ini tambahnya, akan menyokong strategi industrilisasi negeri ke arah menjadikan Bintulu sebagai hub petrokimia utama negara.

“Kami yakin bahawa Pelan Induk Petrokimia Sarawak akan membantu kita membangunkan industri ini secara strategik, seterusnya menguntungkan negeri.

Jelasnya, Kerajaan Negeri juga kini sedang aktif berbincang dengan pihak Petronas untuk mendapatkan ekuiti sebanyak 10 peratus dalam projek Loji MLNG Train 9.

“Pada masa yang sama kita menuntut agar lebih banyak projek diberikan kepada syarikat Sarawak, dan setakat ini Petronas telah memberikan komitmen bernilai RM2.1 bilion, dalam bentuk kontrak tahunan kepada syarikat-syarikat di negeri ini.

Sejak tahun 2013, Petronas telah meluluskan kontrak bernilai RM14.8 bilion kepada syarikat-syarikat dari Sarawak dan kini, jumlah syarikat Sarawak yang berdaftar dengan konglomerat petroleum negara itu adalah 396 buah, berbanding 314 pada 2013

Kata Adenan lagi, beliau turut berterima kasih kepada Petronas kerana menerusi program tanggungjawab sosial korporatnya, telah membelanjakan RM50 juta kepada negeri ini untuk 10 projek, yang dilaksanakan bermula tahun lalu hingga tahun 2019.

“Ketika ini sebanyak lapan projek telah dimulakan dan sedang dilaksanakan seperti Pembangunan Pusat Komuniti, Regata Sarawak, sumbangan kepada badan bukan kerajaan, Program CSR bergerak, Program Prasekolah Penan, bantuan kecermasan dan Program Pemuliharaan Marin Petronas.

“Dua lagi projek yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat ialah Permainan Pintar Petronas serta kawasan rehat dan rekreasi,” jelasnya.

Adenan turut melaporkan bahawa syarikat yang turut dianggotai anak Sarawak sebagai Ahli Lembaga Pengarahnya itu membelanjakan sekitar RM465 juta untuk tempoh lima tahun bagi membina sebuah sekolah Maktab Rendah Sains Mara di Bintulu, melaksanakan projek Asrama Desa dan menaja program bina upaya dan pendidikan untuk para pelajar di negeri ini.

Ketika ini, seramai 3,880 orang atau 75 peratus daripada keseluruhan kakitangan Petronas untuk operasinya di Sarawak merupakan anak Sarawak termasuk dalam bidang huluan dan hiliran. – Sarawakvoice

Leave a Reply