KUCHING: Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem hari ini sekali lagi menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak membuat pusingan “U” berhubung usul Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang mengkategorikan Sarawak sebagai satu daripada 13 negeri dalam Malaysia.

“Kita percaya kepada ikatan persaudaraan BN Pusat dan Negeri dalam menyelesaikan isu ini.

“(Kaedah) diplomasi adalah lebih baik berbanding konfrontasi dan menerusi kaedah ini kita telah berjaya memperoleh pelbagai kejayaan, termasuk berhubung isu Petronas,” katanya dalam penggulungannya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri dekat sini sebentar tadi.

Kerana itu katanya, usul itu tidak dibentangkan dalam persidangan kali ini.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak telah membuat pengumuman di Sabah bahawa beliau bersedia untuk merundingkan kekurangan yang berlaku pada artikel tersebut, asalkan ia bukan berkaitan dengan usaha untuk keluar dari Malaysia.

Menyifatkan Najib sebagai prihatin, menepati janji dan sering meluluskan pelbagai projek apabila ke Sarawak, Adenan optimis proses perundingan tersebut akan berjalan lancar.

Dalam penggulungan tersebut, Adenan turut mengumumkan bahawa sewaktu projek walkabout pada Pilihan Raya Negeri lalu, Perdana Menteri telah meluluskan 498 projek bernilai RM2.601 bilion untuk Sarawak.

“Sehingga 31 Oktober lalu, sebanyak 286 projek atau 57 peratus daripada keseluruhan projek telah berjaya dilaksanakan, manakala selebihnya dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Kejayaan projek ini tanpa diragui telah memberi impak yang signifikan terhadap kehidupan rakyat terutamanya mereka yang berada di luar bandar, katanya.

“Misalnya pelaksanaan projek jambatan Batang Sadong yang bernilai RM211.3 juta di Bahagian Samarahan telah menguntungkan ribuan penduduk yang menghuni di kawasan pinggir pantai di sekitar kawasan tersebut.

“Bandar dan penempatan di sepanjang kawasan pinggir pantai kini telah dihubungi dan tempoh perjalanan dari Sebuyau ke bandar berdekatan kini telah dipendekkan,” jelasnya. – Sarawakvoice

Leave a Reply