Kerajaan Kelantan didesak henti aktiviti zalimi Orang Asli

KUALA LUMPUR: Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) menggesa 41 Orang Asli yang ditahan dalam operasi serbuan Blockade Gua Musang segera dibebaskan.

Presiden Kuasa, Hafizudin Nasarudin berkata, insiden itu tidak akan berlaku jika pihak berkuasa negeri sendiri menghormati dan mengikuti garis panduan pembalakan dan pembukaan ladang Hutan Akta Perhutanan Negara 1984.

Di bawah akta itu, pembalak diwajibkan memilih kawasan yang kurang sensitif untuk pembukaan ladang hutan daripada memilih hutan simpan yang kaya spesies dan mempunyai kepentingan sosial.

Katanya, perjuangan masyarakat orang Asli Temiar bukan baru lagi.

“Mereka telah mula berjuang sejak lima tahun yang lalu lagi dan telah menggunakan pelbagai jalan yang ada termasuk berunding, bermesyuarat, berdialog dan berhimpun secara aman di hadapan pejabat SUK Kelantan. Namun segalanya menemui jalan buntu dan tidak dilayan kerajaan negeri,” katanya.

Kemuncaknya, ujar beliau, mereka terpaksa melakukan halangan ‘blockade’ di pos atau kampung mereka setelah keadaan mencapai sampai tahap kritikal yang mana ada yang jatuh sakit ekoran meminum daripada bekalan air yang penuh dengan lumpur, koridor pencarian sumber makanan atau herba dan kepentingan ekologi yang lain.

Beliau berkata, Kuasa sendiri pernah meninjau kawasan Hutan Simpan Kekal Balah, HSK Gunung Stong Selatan dan HS Perias beberapa bulan yang lalu.

“Terbukti hasil kajian kami, terdapat pencerobohan rizab sungai, mengeruhkan sungai bekalan minuman, gangguan sensitiviti seperti pembalakan di kawasan kubur, tebangan habis di kawasan berkecerunan lebih daripada 45 darjah, berketinggian lebih 1,000 m daripada paras laut dan melibatkan kawasan hutan asli yang kaya dengan spesis flora dan fauna,” katanya.

Jelas sekali, katanya lagi, pembalakan di kawasan itu bukannya pembalakan secara terpilih, sebaliknya ia adalah pembalakan tebang habis untuk pembukaan ladang Timber Latex Clone (TLC).

“Lalu apakah yang tinggal jika semuanya dimusnahkan?,” ujarnya.

Kini,  menurut Hafizudin segala kemusnahan, kemudaratan dan konflik telah berlaku secara terang-terangan dan masyarakat Asli pula ditangkap kerana mempertahankan hak mereka untuk hidup, mendapatkan sumber makanan, minuman dan tempat tinggal.

Untuk itu, kata beliau, Kuasa mendesak pihak kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan sebagai agensi pelaksana menghentikan segera aktiviti yang menzalimi alam dan masyarakat Orang Asli ini serta bertanggungjawab dalam segala kemudaratan dan kemusnahan  yang telah terjadi.

Kuasa juga menggesa pihak berkuasa membebaskan rakan-rakan Orang Asli yang ditahan.

“Pihak berkuasa harus ingat bahawa bukan orang Asli yang melanggar undang-undang, sebaliknya pihak kerajaan negeri yang terlebih dahulu melanggar undang-undang peraturan mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan itu.

Kuasa juga menggesa seluruh rakyat untuk solidariti bersama masyarakat orang Asli Temiar Gua Musang dan Orang Asli di seluruh negara amnya dalam perjuangan mereka mempertahankan khazanah alam.

“Kuasa mengiktiraf peranan orang Asli sebagai penjaga alam yang menjaga sumber-sumber bekalan air kita, sumber oksigen, makanan, biodiversiti dan pengawalan bencana,” tambahnya. – Sarawakvoice

Leave a Reply