KUCHING: Kerajaan sedang memberi perhatian serius ke atas 39 peratus penduduk merangkumi 114,000 isi rumah di Sarawak yang belum menikmati bekalan air bersih terawat.

Menteri Kemudahan Awam Sarawak Datuk Stephen Rundi Utom berkata Kerajaan Negeri berjanji akan mempercepat penyediaan bekalan air bersih ini, lebih-lebih lagi kini kerajaan menumpu kepada pembangunan luar bandar.

Berbanding 2015, hampir 100 peratus kawasan bandar menikmati bekalan air bersih, sementara luar bandar hanya mendapat bekalan air sekitar 61 peratus.

Semasa ucapan penggulungan di Dewan Undang Negeri (DUN) pada Selasa, Rundi berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sedia melaksanakan 141 projek menelan kos RM2.38 bilion untuk manfaat 55,000 isi rumah.

Sementara, kerajaan juga menyediakan peruntukan RM668 juta dalam RMK-11 untuk bekalan sumber air mentah, kerja baik pulih sistem kawasan kritikal dan kajian pelan induk.

Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif Sarawak (SAWAS) turut dijalankan bagi memudahkan usaha menyediakan bekalan air ke kawasan terpencil dan pelaksanaannya adalah mengikut keutamaan dan peruntukan dana. – Sarawakvoice

Leave a Reply