KUALA LUMPUR: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mengulangi  gesaan supaya kerajaan menolak pengiktirafan ke atas  Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana tidak mematuhi Dasar Pendidikan Kebangsaan serta ketelusan peperiksaan, dan bukan atas alasan perkauman.

Menurut Presiden GPMS, Zambri Mohd Isa, Selain kurikulum yang diciplak dari Taiwan, peperiksaan itu juga tidak telus kerana tidak dikendalikan Lembaga Peperiksaan Malaysia tetapi badan persendirian Cina iaitu Dong Zong.

“Hujah bahawa lepasan UEC diterima masuk ke kebanyakan universiti ternama luar negara juga tidak relevan dalam konteks Malaysia malah Dong Zong sendiri mengakui bahawa 90% lepasan UEC di Malaysia melanjutkan pengajian di Taiwan berbanding negara lain,” katanya.

Tambahan, ujar beliau, melalui pindaan Akta Pendidikan 1996, kerajaan telah memberi seluas-luasnya peluang kepada lepasan UEC untuk menyambung pengajian Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) seluruh Malaysia serta menerima mereka untuk memasuki Institusi Pendidikan Guru (IPG).

“Persoalannya, berapa ramai lepasan UEC yang mengambil peluang untuk menyambung pengajian di IPTS jika statistik Dong Zong menyatakan 90% lepasan UEC ke Taiwan?,” ujar beliau.

Beberapa hari lalu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata,  UEC boleh diiktiraf jika mereka menggubal kurikulum  selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dengan mengguna pakai silibus Bahasa Melayu yang setara dengan SPM.

Hal ini, kata Zambri  cukup membuktikan kerajaan telah memberi ruang yang luas kepada mereka jika mahu UEC diiktiraf. “Kenapa mereka masih berdegil dan tidak mahu mengikuti syarat kerajaan? Keengganan mereka menggunakan sukatan subjek Sejarah yang sama dengan SPM juga membuktikan mereka lebih mengagungkan sejarah negara Taiwan dan China dan langsung tidak ada semangat patriotisme untuk berbangga dengan sejarah Malaysia,” katanya.

Malah, pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) juga diberikan pilihan untuk mengambil peperiksaan SPM bersama-sama dengan UEC jika mereka mahu memasuki Universiti Awam.

“Tetapi, berapa ramai pelajar SMPC yang mengambil peluang tersebut? Persoalan GPMS, apa kekurangannya dengan sistem SPM yang digubal di bawah Dasar Pendidikan Kebangsaan hingga mereka langsung tidak mahu menerima sebarang pindaan kepada kurikulum mereka? Mungkin MCA juga terlupa bahawa kepimpinan tertinggi termasuk Presiden dan Timbalan Presiden mereka sendiri adalah produk dari Universiti Awam tempatan hasil kecemerlangan mereka dalam peperiksaan SPM,” ujarnya lagi.

MRSM, katanya, sebuah maktab rendah elit yang telah melahirkan ramai alumni hebat juga, menggunakan sistem SPM sebagai peperiksaan rasmi.

GPMS bertegas untuk mengulangi pendirian bahawa ia menolak sekeras-kerasnya sebarang pengiktirafan daripada pihak kerajaan kepada peperiksaan UEC untuk kemasukan ke Universiti Awam.

“Kerajaan mesti bersikap tegas kepada mana-mana pihak yang tidak mahu menghormati Dasar Pendidikan Kebangsaan yang digubal untuk membentuk satu pemikiran nasional yang tuntas serta menanam sikap patriotisme, bukan hanya mementingkan diri sendiri. Justeru, soalan GPMS kepada MCA, siapa yang berminda konservatif?,” katanya. – Sarawakvoice

Leave a Reply