KUCHING: Sarawak bakal memiliki laluan baharu selain Lebuh Raya Pan Borneo yang dikenali sebagai Sarawak Expressway atau Laluan Utama Kedua Sarawak.

Menurut Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan, Tan Sri James Jemut Masing berkata, cadangan laluan itu akan memendekkan perjalanan dari Kuching ke Sibu selama dua hingga dua setengah jam, melibatkan jarak sekitar 200km.

Ketika ini, perjalanan paling pantas ke Sibu adalah sekitar lima ke enam jam, dan jika menggunakan Lebuh Raya Pan Borneo, perlu melalui laluan sejauh 400km.

“Sejajar dengan cadangan Laluan Utama Kedua ini, kementerian saya turut mencadangkan pembinaan laluan sejauh 85km dari Sebuyau ke Sri Aman, yang akan bergabung dengan  Lebuh Raya Pan Borneo di Betong.

“Kami juga sedang dalam peringkat cadangan untuk membina satu lagi lebuh raya dari Timur Laut Betong yang menjajar ke sempadan Kalimantan, Indonesia sejauh 300km sebelum tamat di Ulu Sungai Baleh, yang menempatkan Empangan Hidro Baleh,” kata Timbalan Ketua Menteri itu lagi.

Dengan adanya laluan baharu ini kelak katanya, kawasan pedalaman Sarawak seperti Ulu Sungai Layar, Pakan, Julau, Kanowit, Song dan Kapit akan lebih pantas dibangunkan, selain lebih dekat dengan wilayah sempadan di Indonesia.

“Tetapi yang paling penting ialah kesan sampingannya berupa pembangunan untuk kawasan tersebut lebih cepat berbanding perancangan lama yang menjarakkannya dari laluan utama.

“Pada masa yang sama, ia akan membantu memantapkan keselamatan aset negara seperti empangan dan pelbagai kemudahan sensitif lain,” jelasnya lagi.

Tiga empangan yang berada di kawasan Kapit ialah Empangan Hidro Murum, Empangan Hidro Bakun dan Empangan Hidro Baleh.

Oleh kerana perancangan ini masih di peringkat awal, Masing tidak mendedahkan kos yang dicadangkan untuk projek mega tersebut.

Sebaliknya, dalam ucapan penggulungan tersebut, Adun Baleh ini mengumumkan komitmen kerajaan untuk melengkapkan jaringan pesisir pantai Sarawak dengan membina laluan Selalang-Tanjung Manis sejauh 33 km dengan tiga jambatan berharga RM600 juta, Jambatan Batang Saribas sejauh 2.3 km (RM350 juta) dan  Jambatan Batang Paloh sejauh 1.5 km (RM250 juta).

Beliau turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM500 juta untuk Jambatan Muara Lassa sejauh 3 km dan Jambatan Sungai Krian sejauh 700m (RM100 juta).

Kesemua projek ini akan dilaksanakan pada “Rolling Plan” akan datang manakala cadangan projek-projek lain kini sedang dipertimbang untuk dilaksanakan dengan kaedah Inisiatif Kewangan Swasta (PFI). – Sarawakvoice

Leave a Reply