ASN 3: ASNB umum agihan pendapatan 6 sen

KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan enam sen seunit bagi Amanah Saham Nasional 3 Imbang (ASN 3) untuk tahun kewangan berakhir 30 November 2016.

Dalam satu kenyataan hari ini, PNB berkata, pengagihan pendapatan berkenaan melibatkan pembayaran sebanyak RM70.78 juta yang akan memberi manfaat kepada lebih 38,000 pemegang unit yang mempunyai pegangan lebih 1.17 bilion unit ASN 3.    

“Tahun kewangan semasa merupakan tempoh mencabar bagi ASN 3 ekoran KLCI didagangkan dalam arah aliran mendatar daripada 1,672.16 mata pada 30 November 2015 kepada 1,628.66 mata setakat 28 November 2016.

“Selain itu, prestasi pulangan aset juga dipengaruhi tekanan dalam harga komoditi, ketidaktentuan dalam nilai mata wang utama dunia serta kadar faedah yang rendah seiring penurunan KLIBOR tiga bulan sebanyak 37 mata asas kepada 3.40 peratus, kata PNB.

Bagaimanapun, katanya, ASN 3 berupaya mengumumkan pengagihan pendapatan enam sen seunit daripada pendapatan kasar RM84.45 juta setakat 28 November 2016.

Menurut PNB, keuntungan daripada jualan saham menyumbang RM39.65 juta atau 47 peratus manakala pendapatan dividen daripada syarikat pelaburan menyumbang RM26.16 juta atau 31 peratus kepada keseluruhan pendapatan kasar.  

Sementara itu, baki RM18.64 juta atau 22 peratus diperoleh daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek serta pendapatan lain, katanya.

PNB berkata, pengiraan pengagihan pendapatan ASN 3 adalah berdasarkan pegangan unit pada 30 November 2016.

“Pengagihan pendapatan akan dilaburkan secara automatik dan dikreditkan ke dalam buku pelaburan pemegang unit pada 1 Disember 2016 berdasarkan nilai aset bersih ASN 3 pada 30 November 2016,” katanya.

Menurutnya, pemegang unit yang melanggan ASN 3 melalui skim pelaburan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, pembayaran pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun KWSP yang terlibat. – Bernama

Leave a Reply