PETALING JAYA: Hindustan Times melaporkan, pendakwah terkenal Dr Zakir Naik telah diberi kerakyatan oleh Malaysia.

Zakir Naik yang pernah memberi ceramah di Malaysia pernah dianugerahkan gelaran Tokoh Maal Hijrah pada 2013 oleh kerajaan Malaysia.

Akhbar tersebut mendakwa wakil Zakir Naik mengesahkan hal berkenaan, bahawa kini beliau merupakan warganegara Malaysia.

Namun, Putrajaya menyanggah laporan berkenaan bahawa Dr Zakir Naik bersembunyi dan diberikan taraf kerakyatan Malaysia.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, menjadi warganegara memerlukan proses panjang.

Memetik laporan FMT News pada Ahad, Nur Jazlan yang juga Ahli parlimen Pulai berkata, “terdapat banyak proses perlu dilalui dan ia mengambil masa puluhan tahun untuk menjadi warganegara.”

Akhbar India melaporkan Zakir yang juga pengasas Islam Research Foundation (IRF) diharamkan di India, kini di bawah siasatan polis dan Agensi Siasatan Negara (NIA).

Pihak berkuasa India sebelum ini menyangka beliau bersembunyi di Afrika atau Thailand tetapi akhbar itu mendakwa, beliau dipercayai berada di Malaysia.

Akhbar tersebut lantang mengeluarkan kenyataan wakil Zakir Naik bahawa, “sudah menjadi dasar kerajaan Malaysia menawarkan kerakyatan kepada penerima Anugerah Kehormat Awam Tertinggi.”

Pihak berkuasa India memantau pergerakan beliau dan menghalang ahli keluarganya meninggalkan negara tersebut.

Zakir Naik mengkritik tindakan pihak berkuasa India mengharamkan organisasi IRF dan tuduhan lain terhadapnya.

Zakir berkata, beliau adalah penyokong keamanan dan mengutuk keganasan dalam siri ucapannya. – Sarawakvoice

Leave a Reply