KUALA LUMPUR: Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) menggesa agar pihak kerajaan memandang serius isu penjualan bayi dan perdagangan kanak-kanak serta mengambil  tindakan segera untuk menanganinya.

Sambil mengutuk sekeras-kerasnya aktiviti tidak berperikemanusiaan itu, Ketua Wanita Ikram, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim dalam satu kenyataan media di sini hari ini, berkata pihak berkuasa harus segera menyiasat  kes penjualan bayi sehingga semua individu dan agensi yang terlibat tertangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Pada minggu lalu, Al-Jazeera  menyiarkan satu video mengenai penjualan bayi  di negara ini.

“Rakyat inginkan penjelasan mengapa media luar negara yang membongkar kes ini berserta melakukan pendedahan terperinci sedangkan pihak berkuasa Malaysia dengan segala kemudahan, latihan dan kelengkapan yang ada tidak dapat mengesan isu ini,” katanya  mengulas isu berkenaan.

Che Asmah berkata, pihak berkuasa  perlu memberikan fokus dalam membela kebajikan rakyat dan pekerja asing serta mantapkan usaha membanteras rasuah dan korup dalam pentadbiran negara.

“Pihak berkuasa harus memberi fokus kepada usaha membela kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat  termasuklah pekerja-pekerja asing yang mencari rezeki di negara ini.

Selain itu, ujarnya, mereka juga haruslah membanteras segala budaya  rasuah dan korup di dalam pentadbiran negara dan mengembalikan urus tadbir negara yang baik di semua peringkat.

Beliau berharap agar semua pihak menggembleng usaha untuk membangunkan  jati diri rakyat dan menyelamatkan negara ini dari segala jenayah dan bala bencana daripada perbuatan manusia yang rakus dan tidak bermoral. – Sarawakvoice

Leave a Reply