Sarawak terjamin dan tenang, indeks jenayah berkurangan – Manyin

KUCHING: “ Keselamatan Sarawak terjamin dan tenang! Tidak wujud sebarang ancaman termasuk daripada militan IS mahupun Daesh,” jamin Menteri Belia, Sukan dan Solidariti, Datuk Seri Michael Manyin semalam.

Menurutnya, pun begitu, semua agensi keselamatan di negeri ini perlu sentiasa sentiasa bersiap siaga.

“Kita tidak akan bersikap sambil lewa ataupun selesa. Sempadan negara tetap dikawal ketat bagi mengelakkan kemasukan anasir-anasir yang boleh menggugat keharmonian negeri ini,” katanya ketika berucap sewaktu sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri pada petang semalam.

Manyin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tebedu berkata, secara keseluruhan situasi keselamatan negeri Sarawak adalah terjamin.

“Malah saya juga gembira untuk melaporkan bahawa kadar jenayah di negeri ini juga berkurangan dan terkawal.

“Saya difahamkan oleh Polis Di Raja Malaysia, bahawa untuk sepuluh bulan pertama tahun ini, Sarawak mencatatkan hanya 5,604 jenayah indeks, berkurangan 471 kes atau 8 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

“Malah indeks jenayah yang dilaporkan di Daerah Kuching hanya sekitar 1,324 kes dalam tempoh tersebut berbanding 1,537 kes pada tahun lalu.

“Ini menunjukkan berlakunya penurunan sebanyak 213 kes atau 13.86 peratus manakala dalam menyelesaikan kes-kes jenayah, Daerah Kuching merekodkan kejayaan sebanyak 65 peratus, ” katanya.

Menjawab soalan khusus yang diutarakan oleh Adun Ba’kelalan, Baru Bian, Manyin berkata, untuk kawasan Bekenu, sepanjang tahun 2012 hingga 2016, pihak polis telah membuka sebanyak 41 kertas siasatan berhubung pelbagai kes di kawasan tersebut.

“Hasil siasatan tersebut menyebabkan lima individu telah ditahan di bawah Kanun Keseksaan manakala empat lagi ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Pada penggulungan yang sama, Manyin turut mengumumkan komitmen pelbagai pertubuhan bukan kerajaan dalam memastikan kawasan kejiranan mereka bebas jenayah dan selamat.

“Sejumlah 934 Kawasan Rukun Tetangga dan 446 pasukan Skim Rondaan Sukarela telah ditubuhkan di negeri ini.

“Malah Kawasan Rukun Tetangga yang ditubuhkan di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional kini telah menganjurkan lebih 4,000 program dan aktiviti yang bukan sahaja menjamin keselamatan rakyat, bahkan bertunjangkan keharmonian antara kaum di negeri ini,” jelasnya. – Sarawakvoice

Leave a Reply