Sarawak sasar liputan menyeluruh jalur lebar pada tahun 2030, kini capaian adalah 53 peratus – Rundi

KUCHING: Kerajaan Negeri kini gigih meningkatkan kadar tembusan jalur lebar per isi rumah di Sarawak, dengan capaian terkini adalah 53 peratus pada tahun suku kedua tahun ini berbanding hanya 13 peratus pada tahun 2008.

Menteri Kemudahan Awam, Datuk Stephen Rundi Utom berkata, komitmen ini dibuktikan menerusi pembangunan lebih 700 menara telekomunikasi di negeri ini sejak tahun 2008.

“Malah dengan suntikan dana sebanyak RM2 bilion menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), sebanyak 412 menara tambahan diwujudkan bagi membolehkan rakyat pelbagai peringkat dapat menikmati kemudahan telekomunikasi, yang kini menjadi sebahagian daripada keperluan dan gaya hidup,” katanya ketika melakukan penggulungan pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini semalam.

Kata Rundi, kerajaan kini sedang giat melaksanakan sambungan gentian optik pada menara-menara ini bagi membolehkan khidmat 2G yang sedia ada dinaik taraf kepada kemudahan 3G.

“Peruntukan yang sama juga digunakan untuk menubuhkan 124 pusat internet 1Malaysia dan melaksanakan sambungan gentian optik dasar laut dalam sebagai sebahagian daripada inisiatif Sistem Kabel Rakyat 1Malaysia selain melakukan sambungan gentian optik di daratan sepanjang 1,237 kilometer.

Katanya lagi, infrastruktur dan perkhidmatan komunikasi di negeri ini dijangjka diperkukuh lagi menerusi pembentukan Jawatankuasa Kerja Penyambungan Jalur Lebar di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sebagai sebahagian daripada usaha untuk mencapai sasaran Sarawak sebagai negeri maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

“Ketika ini juga pelbagai rancangan naik taraf dan tambah baik infrastruktur dan perkhidmatan komunikasi baharu sedang dilaksanakan dan ada yang berada di peringkat akhir pelaksanaannya.

“Ini termasuk penambahbaikan menara-menara telekomunikasi yang baharu, peluasan perkhidmatan 3G di kawasan-kawasan berkepadatan penduduk dan meneruskan usaha menyambung menara-menara sedia ada dengan gentian optik.

Kata Rundi, menjadi harapan kerajaan untuk mencapai sasaran 95 peratus liputan jalur lebar di kawasan berpenduduk pada tahun 2021 dan seterusnya mencapai tembusan sepenuhnya pada tahun 2030.

Mengenai liputan jalur lebar di sekolah, Rundi memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan telah membuat keputusan untuk menghidupkan semula projek 1Bestarinet untuk membekalkan kemudahan konektiviti 4G kepada 1,449 sekolah di negeri ini.

“Projek ini akan dilaksanakan secara berfasa dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2019.

“Fasa pertama melibatkan 41 sekolah dan dijangka siap pada penghujung tahun ini.

“Fasa kedua dijangka bermula pada Januari tahun hadapan melibat 170 buah sekolah dan dijangka siap dalam tempoh enam bulan.

Jelasnya, perancangan dan pelaksanaan sistem komunikasi dilakukan secara terancang dan berpusat, dengan pihaknya memberi tumpuan kepada kawasan yang berpenduduk padat sebelum diluaskan secara berperingkat kepada kawasan-kawasan sekitar secara sistematik.

“Ini untuk memastikan kemudahan ini berlaku secara berangkai dan memberikan perkhidmatan yang lebih berkualiti ke seluruh kawasan berpenduduk di Sarawak.

“Perancangan berpusat juga penting berikutan pelbagai cabaran yang dihadapi seperti topografi Sarawak yang berbukit bukau, tumbuhan hutan hujan tropika yang berbentuk tinggi dan kanopi, pola penduduk yang berselerak serta kekangan jaringan bekalan elektrik stabil di kawasan luar bandar Sarawak.” – Sarawakvoice

Leave a Reply