KUCHING: Sarawak perlu mencipta identiti baharu untuk sektor pelancongannya, bukan sekadar mempromosinya sebagai ‘destinasi pelancongan unik’, tetapi menambah baik sebagai destinasi penganjuran acara perniagaan, perdagangan dan pelaburan.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, ini untuk menonjolkan kelebihan negeri ini berbanding negeri-negeri lain seperti Kuala Lumpur, Sabah, Pulau Pinang dan Melaka yang lebih dikenali oleh komuniti pelancong.

“Untuk itu, kementerian saya akan terus mempromosikan negeri ini sebagai destinasi Kebudayaan, Cabaran dan Alam Sekitar (CAN).

“Malah pelan tindakan intervensi serta peruntukan bajet untuk kementerian ini pada tahun 2017 juga akan memfokus kepada prasarana, kemudahan, acara, festival dan pembangunan produk yang berteraskan kepada CAN,” katanya sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri pagi tadi.

Timbalan Ketua Menteri berkata, Sarawak menerima kehadiran 3,785,175 pelancong pada 10 bulan pertama tahun ini, penambahan sebanyak 1.02 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

“Berdasarkan trend kedatangan pelancong pada bulan November dan Disember saban tahun, kementerian saya menjangkakan 4.7 juta pengunjung akan menjejakkan kaki ke Sarawak sepanjang tahun 2016, peningkatan 4.4 peratus berbanding 4.5 juta pengunjung pada tahun lalu.

Sektor pelancongan Sarawak katanya, menjangkakan resit perbelanjaan pelancong asing sebanyak RM10.18 bilion atau peningkatan sebanyak 3.1 peratus, yang menyumbang 10 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar pada tahun ini.

“Pada tahun 2017, kementerian saya mensasarkan kehadiran 5 juta pengunjung dengan resit pelancongan bernilai RM10.68 bilion.

Abang Johari berkata, Taman Negara berterusan menjadi destinasi yang diminati untuk aktiviti alam sekitar dan cabaran baik untuk pelancong tempatan mahupun antarabangsa.

“Sembilan bulan pertama tahun ini menyaksikan 423,333 pengunjung bertandang ke taman-taman negara ini, peningkatan sebanyak 9.27 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Mereka ini menjana pendapatan sekitar RM4.53 juta, peningkatan 13 peratus berbanding tahun lalu, dengan 80 peratus daripadanya adalah kalangan pengunjung domestik.

Katanya, antara lokasi pilihan pengunjung ialah Taman Negara Mulu, Pusat Hidupan Liar Semenggoh, Taman Negara Bako, Taman Bencah Kuching, Taman Negara Niah dan Pusat Hidupan Liar Matang kerana keunikan sistem geo dan pemuliharaan hidupan liar. – Sarawakvoice

Leave a Reply