KUCHING: Sedar akan kesukaran golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah sendiri dalam keadaan ekonomi yang sukar hari ini, Majlis Perancang Negeri Sarawak (SPA) telah menggubal “Dasar Perumahan Baharu untuk Kumpulan Berpendapatan Rendah dan Sederhana” untuk membolehkan lebih ramai dalam kelompok ini membeli rumah, kata Menteri Perumahan dan Urbanisasi, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata, dasar baharu ini dirangka untuk menangani isu kekurangan rumah mampu milik selain mengawal kenaikan harga rumah yang melampau.

“Ketika ini rumah teres dua tingkat di Kuching melonjak sehingga RM550,000 seunit manakala di Bintulu mencecah sehingga RM655,000 seunit.

Justeru itu katanya, dasar baharu ini diperkenal sebagai intervensi untuk membolehkan jumlah rumah yang ditawarkan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana ditingkatkan, tetapi melalui pembabitan penuh pihak swasta.

“Malah dasar ini turut membolehkan spesifikasi minimum rumah-rumah kos rendah di negeri ini memenuhi kehendak para pembeli,” tambahnya ketika sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri Sarawak dekat sini pagi tadi.

Abang Johari menjelaskan, di bawah dasar ini, pemaju perumahan swasta diwajibkan untuk membangunkan sehingga 30 peratus rumah mampu milik jenis teres daripada keseluruhan projek pembangunan yang dilaksanakan di atas tanah seluas 10 ekar dan lebih.

Rumah mampu milik ini pula dibahagi kepada dua jenis iaitu Skim Perumahan Khas Rakyat (Spekra) Lite dan SPEKRA Medium.

Spekra Lite merupakan rumah teres yang berharga di antara RM100,000 hingga RM120,000 manakala Spekra Medium berharga sekitar RM135,000 hingga RM168,000.

“Unit perumahan ini bagaimanapun hanya boleh dijual kepada individu yang telah disaring oleh Kementerian Perumahan dan Urbanisasi untuk memastikan ia benar-benar dilaksanakan mengikut peraturan yang ditetapkan dan diperoleh oleh individu yang memenuhi kriteria yang ditetapkan,” katanya lagi.

Abang Johari menambah, saiz rumah tersebut juga lebih besar dengan keluasan minimum adalah 700 kaki persegi berbanding 444 kaki persegi sebelum ini, selain mengandungi tiga bilik tidur berbanding dua sebelum ini.

“Pemaju swasta yang membangunkan tanah mereka untuk flat, apartmen dan kondominium atau “ townhouse” juga dikehendaki membangunkan flat mampu milik jika saiz tanah tersebut adalah seluas 4 ekar dan lebih.

“Flat mampu milik ini hendaklah berharga sekitar RM120,000 dengan keluasan minimum sekitar 7000 kaki persegi,” tambahnya lagi.

Menurut Abang Johari, dengan populasi yang meningkat daripad 2.63 juta pada tahun lalu kepada 3.36 juta pada 2035, Sarawak dijangka memerlukan sekitar 14,000 unit rumah setiap tahun.

“Sehingga tahun 2020, Sarawak dijangka memerlukan 58,057 unit rumah,” jelasnya lagi.

Dalam tempoh tersebut, 20 peratus penduduk Sarawak adalah dalam kalangan mereka yang berusia sekitar 25 ke 35 tahun.

“Mereka ini berpotensi menjadi pemilik rumah pertama dalam tempoh tersebut namun akan berhadapan kesukaran untuk membeli rumah jika tidak memiliki sebarang simpanan, terutamanya di atas lokasi bandar-bandar utama.

Ini menyokong dapatan kajian pada 2014 bahawa 75 peratus daripada isi rumah di negeri ini mempunyai kurang 11 peratus daripada pendapatan mereka sebagai simpanan.

“Keadaan ini akan menyebabkan mereka sukar membeli rumah terutamanya di kawasan bandar-bandar utama,” jelasnya lagi.

Kerana itulah katanya, dasar dan intervensi ini dilakukan, agar masalah ini dapat ditangani secara proaktif. – Sarawakvoice

Leave a Reply