HULU SELANGOR: Sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi pembaikan keseluruhan jalan raya dan kawasan terjejas susulan tanah runtuh di Taman Idaman, Serendah di sini, Sabtu lalu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini.

Beliau  berkata, pembaikan merangkumi kerja pembinaan semula jalan utama di sekitar lokasi akan dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebaik menerima laporan penuh daripada pasukan geofizik Jabatan Mineral dan Geosains.

Kata Azmin, penambahbaikkan itu adalah untuk jangka masa pendek dan panjang bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Kerajaan Negeri bersetuju membiayai pembinaan semula jalan raya utama yang melalui jalan dalam dan luar dengan anggaran kos RM5 juta,” katanya pada  sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak lokasi kejadian runtuhan tanah pagi tadi.

“Pihak perbendaharaan negeri menyediakan peruntukan tersebut dan apabila laporan JKR Selangor dikeluarkan, operasi pembinaan jalan baru itu terus disegerakan,” katanya.

Azmin menyampaikan sumbangan RM500 kepada setiap 64 keluarga yang terpaksa berpindah susulan kejadian itu.

Azmin  berkata, beliau menjangkakan dalam keadaan biasa laporan boleh dikeluarkan dalam tempoh 48 jam kepada pihak berkuasa negeri.

Berdasarkan laporan itu, ujarnya, kerajaan negeri akan memutuskan sama ada kawasan kejadian ini benar-benar selamat untuk didiami atau sebaliknya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritenden R Supramaniam memaklumkan sepasukan teknikal daripada Unit Jabatan Kerja Raya Selangor (JKR) diarahkan menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden runtuhan tanah, pada Sabtu lalu.

Katanya, JKR akan turut melakukan siasatan forensik terhadap bangunan di kawasan itu bagi memastikan ia selamat diduduki. – Sarawakvoice

Leave a Reply