KUALA LUMPUR:  Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata,  Bank Negara Malaysia (BNM) dan kerajaan perlu jujur dalam mencari sebab mengapa nilai ringgit paling terjejas di rantau Asia.

“Jangan pendamkan sebab sebenar hanya kerana menjaga maruah seseorang sementara rakyat terus dimiskinkan melalui susutan nilai Ringgit,” katanya dalam satu kenyataan.

Tuan Ibrahim berkata, melihat pada data, Pas khuatir sekiranya  langkah yang diambil BNM tidak berkesan, apakah rizab antarabangsa yang ada hari ini dapat menampung nilai ringgit sekiranya ia terus menyusut seperti yang dijangkakan para penganalisa ekonomi.

Nilai ringgit kini menyusut ke RM4.47 kepada satu dolar Amerika Syarikat  (AS) dan menjadi mata wang Asia yang paling menyusut nilainya sejak kemenangan Donald Trump sebagai Presiden AS ke-45.

Kini, ujarnya,  para penganalisis ekonomi menjangkakan nilai ringgit akan terus menyusut di 2017, malah ada yang membuat prediksi bahawa ia akan menyusut ke paras RM5.

“Apakah kerajaan sudah ada langkah-langkah untuk mengawal inflasi berganda ekoran kejatuhan nilai ringgit dan segala penarikan balik subsidi?,” tambahnya.

Beliau berkata, Pas juga mengikuti rapat langkah-langkah yang diambil BNM  bagi menstabilkan nilai ringgit dengan gesaan menghentikan dagangan ringgit di luar pesisir terutamanya perdagangan ringgit di pasaran kontrak hadapan tanpa serahan (NDF).

Rizab BNM berada pada AS$140 bilion pada suku pertama 2013 sebelum turun kepada AS$100.5 bilion pada 15 Julai.

Pada 14 Ogos 2015, rizab antarabangsa BNM jatuh di bawah AS$100 bilion kepada AS$94.5 bilion kerana aktiviti menyokong nilai ringgit di pasaran dengan membeli unit tempatan itu.

Setakat 15 Nov 2016, rizab antarabangsa BNM masih di bawah AS$100 bilion iaitu pada AS$98.3 bilion. – Sarawakvoice

Leave a Reply