Mayat kedua tragedi tongkang karam di Pulau Bruit ditemui tengah hari tadi – APMM

DARO: Mayat kedua mangsa tongkang karam berhampiran Kampung Betanak, Pulau Bruit dijumpai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tengah hari tadi.

Jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berkata, mayat tersebut dikesan sekitar jam 12.15 tengah hari tadi oleh Unit Udara Polis Di Raja Malaysia yang kemudian memaklumkan penemuan tersebut kepada Pusat Operasi SAR di Kampung Betanak.

Pasukan SAR yang melakukan pencarian di laut kemudian menjumpai mayat tersebut terapung kira-kira 7 batu nautika dari Kampung Betanak sekitar jam 1.35 tengah hari tadi dan membawanya ke pangkalan untuk tujuan pengecaman.

Mangsa kemudian dipercayai bernama Kamal, 30-an, iaitu operator kren tongkang tersebut.

Mayat kini dibawa ke Hospital Daro dekat sini untuk pengesahan lanjut identiti dan tindakan seterusnya.

Ia merupakan mayat kedua dijumpai daripada empat yang sebelum ini dilaporkan hilang.

Pada tengah hari semalam, orang awam yang menyertai pasukan SAR menjumpai mayat seorang lelaki yang terdampar di tebing Kampung Salah Kechil, dekat sini.

Dalam kejadian yang dipercaya berlaku di antara jam 9 hingga 10 malam Sabtu lalu, tongkang yang didaftarkan dengan nama “Jin Fiat No.1” sedang dalam perjalanan dari Sebuyau menuju Pulau Bruit dengan membawa batu kelikir untuk kerja-kerja membina jalan di pulau terbabit.

Ketika kejadian, kapal dengan enam anak kapal itu tenggelam kira-kira tiga batu nautika dari Kampung Betanak, kerana faktor cuaca dan ombak besar.

Dua daripada mangsa bagaimanapun terselamat setelah berjaya berpaut pada buritan kapal, sebelum diselamatkan oleh seorang nelayan yang kebetulan lalu di kawasan tersebut, keesokan harinya.

Dua mangsa yang selamat ini dikenal pasti sebagai Melvin Francis, 20 tahun dan Kenny Clement,18 tahun.

Manakala mangsa yang hilang dikenal pasti sebagai jurumudi Pawi Nyawan, 50-an, operator kren, Kamal 30-an, Angga Wahyudi, 24 tahun dan Mira, isteri Kamal.

Ini kejadian kemalangan laut kedua terbesar yang dikaitkan dengan Pulau Bruit selepas insiden perahu karam di Muara Batang Lassa pada Januari 2014. – Sarawakvoice

Leave a Reply