MELAKA: Peguam Cara Negara II Jabatan Peguam Negara (AGC) Datin Paduka Zauyah Be T. Loth Khan berkata bilangan kes di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) meningkat drastik tahun ini.

Kes yang didakwa di mahkamah mencatat peningkatan daripada 38 kes tahun lalu kepada 253 kes tahun ini.

Daripada jumlah itu, 91 kes disabitkan di bawah Akta 670 berbanding hanya tujuh sabitan dalam tempoh sama tahun lepas.

Semasa merasmikan Persidangan Pendakwaan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) di Bandar Hilir pada Isnin, Zauyah berkata, daripada 91 sabitan itu, kesalahan pemerdagangan orang di bawah Seksyen 12, 13 dan 14 Akta 670 mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 71 kes.

Kesalahan berhubung perbuatan pemerdagangan orang di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/1963 (Disemak 1975) (Akta 155) mencatatkan 12 kes.

Manakala, kesalahan penyeludupan migran di bawah seksyen 26A dan 26J Akta 670 lapan kes.

Kira-kira 50 peserta dari agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terlibat dalam persidangan empat hari itu.

Program anjuran AGC bertujuan memberi ruang dan menyediakan platform perbincangan bagi peserta memikirkan kaedah tambah baik yang wajar dilaksanakan demi meletakkan Malaysia poada Tahap Satu US Tip Report menjelang 2020.

Zauyah berkata, AGC bersama agensi penguatkuasaan terlibat mengambil langkah proaktif memastikan siasatan dan pendakwaan membabitkan kesalahan di bawah Akta 670 dikendali secara berkesan penjenayah dapat dibawa ke muka pengadilan. – Sarawakvoice

Leave a Reply