KUCHING: Kerajaan Negeri telah mengeluarkan sebanyak 45,097 surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri kepada penduduk-penduduk negeri ini bagi tujuan kediaman, kata Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Menurutnya, penyerahan surat hak milik ini dilakukan menerusi Program Pengukuran Kampung Tradisonal dan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam mengiktraf dan menjamin hak penduduk di kampung-kampung yang telah lama wujud.

“Dalam menjamin hak rakyat ke atas tanah mereka, melalu peringkat pertama Program Pengukuran Hak Tanah Adat Bumiputera Inisiatif Baharu pula, Kerajaan telah berjaya mengukur secara perimeter kawasan seluas 749, 134 hektar dan 5,543 lot individu yang melibatkan kawasan seluas 6,208 hektar,” katanya ketika sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri, semalam.

Awang Tengah menjelaskan, pada tahun ini, sehingga 31 Oktober lalu, hanya 17,054 hektar dan 1,508 lot individu seluas 1,628 hektar telah disukat.

“Pengurangan secara mendadak ini berlaku berikutan kelewatan penyaluran peruntukan oleh Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, peruntukan Kerajaan Persekutuan hanya diterima oleh Jabatan Tanah dan Survei secara berperingkat bermula Mei hingga penghujung Oktober lalu dengan nilai keseluruhan RM13.989 juta.

“Akan tetapi kita percaya pada tahun hadapan, lebih banyak kawasan akan dapat diukur dan disukat memandangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak menerusi Bajet 2017 lalu telah komited kepada peruntukan berjumlah RM30 juta bagi membolehkan program ini diteruskan pada tahun hadapan,”katanya.

Kejayaan dalam pengukuran di bawah program ini katanya membuktikan bahawa kerajaan komited dalam mengiktiraf Tanah Hak Adat Bumiputera.

“Usaha ini juga mendapat sokongan padu rakyat biarpun berhadapan dengan cabaran seperti tuntutan tanah yang tidak munasabah, bantahan di lapangan dan propaganda yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu katanya, beliau meminta semua wakil rakyat yang terlibat agar memberikan kerjasama bagi membolehkan Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera ini dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan cepat. – Sarawakvoice

Leave a Reply