Kekejaman terhadap Rohingya: Myanmar sudah tidak ada hati perut

Isu  berkaitan kekejaman dan penderitaan yang dialami oleh etnik minoriti Rohingya di Myanmar bukan isu kecil. Masalah berkenaan tidak mungkin dapat diselesaikan oleh satu pihak atau sebuah negara luar.

Kalaupun masalah itu hendak diselesaikan secara muktamad, hanya Myanmar yang dapat melakukannya. Tetapi Myanmar di bawah pemenang Hadiah Nobel Aung San Suu Kyi kelihatan sudah tidak ada hati perut.

Beliau tidak mempedulikan kesengsaraan dihadapi Rohingya. Malah, beliau seolah-olah membiarkan pihak berkuasa menyerang dan membunuh sekali gus menjadikan anugerah Nobel yang diterimanya tidak bererti langsung.

Kita boleh katakan apa yang berlaku di negara majoriti Buddha itu ialah satu pembersihan etnik. Sama seperti yang berlaku di Bosnia dan Kagali suatu ketika dahulu.

Jika dunia tidak peduli, Rohingya akan terus berdepan dengan kezaliman dan penyeksaan pihak tentera Myanmar.

Mereka akan bagai manusia yang sudah hilang akal dan perasaan. Mereka akan terus membakar masjid dan kediaman Rohingya, merogol wanita, dan memenggal kepala lelaki dan kanak-kanak.

Tentera berkenaan juga menembak mati kaum lelaki dan merampas harta benda etnik Rohingya tanpa sedikit pun rasa perikemanusiaan.

Kini, dilaporkan lebih 30,000 etnik Rohingya menjadi pelarian susulan keganasan yang dilancarkan terhadap mereka.

Sepanjang bulan lalu, situasi dihadapi etnik  minoriti itu semakin teruk. Kerajaan Myanmar telah mengerahkan sejumlah besar anggota polis dan tentera di Rakhine.

Imej yang kita saksikan begitu menyayat hati.

Ketegangan di Rakhine, utara Myanmar kembali meletus selepas sembilan pegawai polis terkorban dalam serangan terancang pemberontak di pos pemeriksaan di sempadan dengan Bangladesh.

Ramai yang cuba menyelamatkan diri dengan menyusup ke negara jiran itu.

Sebanyak 1.3 juta etnik Rohingya yang sudah sekian lama tertekan dan menderita, serta tidak diiktiraf kerajaan Myanmar akan terus tertekan dan menderita.

Mungkinkah krisis pencabulan hak asasi manusia itu boleh ditamatkan?

Mengapa tidak?

Tetapi Malaysia sahaja tidak mungkin melakukannya. Kerjasama masyarakat antarabangsa termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Asean dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) diperlukan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  dalam satu temu bual dengan RTM malam tadi berkata, Malaysia sendirian tidak mampu untuk menamatkan kekejaman terhadap etnik Rohingya di Myanmar.

Kini, semua pihak perlu bangkit untuk membantu Rohingya yang terseksa. – Sarawakvoice

Leave a Reply