KUCHING: Menteri Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Sim Kui Hian semalam mendedahkan bahawa kajian Daftar Kebangsaan Mengenai Lembangan Sungai pada tahun 2000, mensasarkan kawasan seluas 10,895 kilometer persegi di Sarawak dijangka berhadapan masalah banjir.

“Jumlah kawasan ini adalah 15 kali besar daripada saiz Singapura yang sekali gus menjejaskan 478 ribu penduduk atau setiap seorang daripada lima penduduk Sarawak,” katanya, ketika sesi penggulungan kementeriannya dalam sidang Dewan Undangan Negeri di sini semalam.

Sim berkata, kebanyakan kawasan ini terletak di tempat yang relatif rendah dan terdedah kepada fenomena air pasang besar.

“Mengadakan projek tebatan banjir di sini adalah terlalu mahal dan satu-satunya alternatif yang ada adalah dengan memindahkan mereka ke kawasan yang lebih tinggi.

Menurutnya lagi, di bawah Jawatankuasa Kabinet mengenai Transformasi Luar Bandar, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM100 juta untuk menaik taraf sistem perparitan yang kritikal bagi berhadapan situasi banjir ini.

“Kerja-kerja tebatan banjir ini akan dilaksanakan oleh Jabatan Perparitan dan Saliran dan juga majlis tempatan.

Kerajaan Negeri juga katanya, telah memperuntukkan dana berjumlah RM3.5 juta dan RM6.9 juta bagi menangani masalah banjir kilat yang melanda Kuching dengan meningkatkan sistem pengaliran keluar air dari parit besar di Hospital Umum Sarawak dan Padang Merdeka.

“Kedua-dua projek ini djangka bermula pada tahun 2017.

Jelasnya, pada tahun ini (2016), Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM7.96 juta untuk melaksanakan 10 projek penambahbaikan sistem perparitan bandar di seluruh negeri.

“Enam daripada projek ini telah dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia yang lalu dan telah telah siap sepenuhnya.

Pada tahun 2016 katanya, Kerajaan Pusat memperuntukkan RM23.48 juta dan RM28.65 juta untuk pelaksanaan Projek Tebatan Banjir, menangani hakisan tebing, projek pascabanjir, pembersihan sungai dan kerja-kerja penyelenggaraan.

Pada tahun 2017, peruntukan berjumlah RM7.55 juta dan RM10.66 juta telah diluluskan untuk melaksanakan kerja-kerja tebatan banjir dan projek berkaitan sungai.

Pada masa yang sama jelasnya, Kerajaan Pusat turut meluluskan dana berjumlah RM11 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-11, untuk melaksanakan Pelan Induk Pengurusan Perparitan Air Ribut di bandar dan pekan utama di negeri ini seperti Sri Aman, Betong, Debak, Spaoh, Serian, Sarikei, Saratok, Limbang dan Lawas.

“Kajian Pelan Induk Pengurusan Air Ribut di bandar Bintulu kini sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada Ogos 2017.

Bagi menangani masalah banjir kilat ini terus berlaku pada masa hadapan, Kerajaan Negeri menurutnya, telah memperkenalkan Manual Pengurusan Air Ribut Bandar Sarawak (SUStoM) , yang akan diwajibkan untuk semua cadangan perparitan, bermula pada suku pertama tahun hadapan. – Sarawakvoice

Leave a Reply