KUCHING: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) seharusnya memiliki wakil dalam senarai exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang akan mengadakan mesyuarat kongresnya tidak lama lagi, kata Menteri Muda Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Penyertaan wakil Sarawak dalam badan induk bola sepak negara itu tegasnya, penting untuk menyuarakan masalah yang dihadapi oleh Sabah dan Sarawak, terutamanya apabila berkaitan dengan penyertaan dalam kejohanan dan pertandingan yang diadakan seperti Piala Malaysia, Liga Super dan sebagainya.

“Jika melibatkan perlawanan yang ada timbal balik, kedua-dua negeri ini menderita bebanan kos yang tinggi, setiap kali menghadiri perlawanan di tempat lawan.

“Ini berbeza dengan negeri-negeri di Semenanjung yang hanya menggunakan bas dan tidak perlu ditekan kos yang melampau,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching hari ini.

Oleh kerana itu kata Karim, wakil kedua-dua negeri ini perlu ada bagi membolehkan mereka memberi penjelasan akan isu-isu yang mungkin tidak terlihat oleh badan sukan tersebut.

“Mungkin sudah tibanya untuk FAM melihat subsidi yang sesuai, yang boleh diberikan kepada kedua-dua persatuan bola sepak negeri ini, bagi membolehkan mereka dibantu dalam menangani tekanan kos ini.

“Kedua-dua negeri ini perlu untuk terus bermain dalam kejohanan peringkat kebangsaan ini, sekiranya kita mahu melihat bukan sahaja bakat mereka, tetapi penyerapan semangat perpaduan ataupun integrasi dalam kejohanan-kejohanan tersebut.

Kongres FAM ke-53 akan berlangsung pada Mac depan dan nama calon yang ingin bertanding perlu dihantar selewat-lewatnya 23 Januari depan, sebelum senarai akhir dikeluarkan pada 20 Februari. Semua jawatan akan dibuka untuk pemilihan yang baharu bagi sesi 2017-2021.

Ketika ini, Sarawak diwakili oleh bekas Presiden FAS, Datuk Sudarsono sebagai salah seorang Naib Presidennya.

Menurut Karim lagi, kerana beban kewangan itu jugalah, FAS kini berhadapan masalah untuk mencari nakhodanya.

FAS memerlukan biaya sekurang-kurangnya RM15 juta hingga RM20 juta setahun untuk mengurus pasukan-pasukannya bagi beraksi dalam liga kebangsaan.

Sementara itu, mengulas tentang kekosongan jawatan Presiden FAS itu, Karim sebolehnya tidak mahu mencampuri urusan persatuan itu, tetapi menyedari ia semakin menjadi kebimbangan ramai, beliau tidak menolak untuk memanggil kepimpinan FAS sekarang bagi berbincang tentang masalah yang mereka alami.

“Saya akan berbincang dengan Menteri Belia, Sukan dan Solidariti, Datuk Seri Michael Manyin Jawong bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menyelesaikan kemelut ini.

“Sukan bola sepak adalah sukan nombor satu negeri ini dan kita tidak akan membiarkan ia berhadapan masalah begini begitu lama.

“Malah saya tidak tahu bagaimana mereka mentadbir pasukan negeri pada musim ini.

“Harus ada titik noktah terhadap isu ini, dan antara jalan terbaik adalah melantik Timbalan Presiden untuk memangku jawatan tersebut buat sementara waktu,” katanya lagi.

Bagaimanapun katanya, berdasarkan maklumat yang diperolehinya, persatuan tersebut dalam keadaan yang baik dan tidak tenat.

“Malah persediaan untuk membentuk pasukan Sarawak 2017 sedang berjalan dengan lancar.

“Saya difahamkan pengurusan pasukan berkunjung ke Australia baru-baru ini bagi mencari para pemain yang boleh diserap masuk ke dalam pasukan baharu itu.

Katanya, yang penting ketika ini adalah kemampuan mereka untuk membentuk pasukan yang mantap, seperti yang diharapkan oleh para peminat sukan di negeri ini.

“Tidak ada guna jika persatuan tersebut memilih golongan kenamaan malah menteri menjadi Presidennya, tetapi gagal membantu pasukan Ngap Sayot ini bergelar juara, atau sekurang-kurangnya menjadi kelompok pasukan yang disegani.

Sebelum mengumumkan keputusannya untuk tidak meneruskan tugas sebagai Presiden FAS, Datuk Sudarsono Osman pernah berkata, antara ciri-ciri penting yang harus ada pada seserang Presiden persatuan itu ialah minat yang mendalam, fokus serta sanggup melakukan apa sahaja untuk sukan bola sepak di negeri ini dan program pembangunannya. – Sarawakvoice

Leave a Reply