KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai awam kerana disyaki terlibat dengan rasuah melibatkan projek-projek Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka, hari ini.

Menurut sumber, pegawai lelaki berusia 55 tahun itu ditahan SPRM kira-kira 2 petang semalam.

Sumber itu berkata suspek disyaki telah meminta wang suapan bagi projek berkaitan PBT berkenaan.

“Selain itu, SPRM turut membekukan akaun bank milik suspek yang mengandungi wang jutaan ringgit,” katanya kepada Bernama.

Berikutan itu, SPRM dijangka menahan beberapa lagi individu berkaitan kes itu, katanya.

Sementara itu, SPRM menahan seorang penolong pegawai di pejabat tanah daerah di Johor kerana disyaki menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan tanah di pejabat-pejabat tanah daerah lain, selain menggunakan kedudukannya untuk memperoleh tanah secara pindah milik.

Sumber itu berkata suspek berusia 50-an itu ditahan kira-kira 2 petang tadi di pejabat SPRM Johor.

Hasil siasatan mendapati suspek memiliki beberapa lot tanah pertanian seluas 16.75 ekar, tanah usahasama 68 ekar, tanah rumah kediaman dan kediaman mewah di beberapa daerah di negeri itu, katanya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” kata sumber itu.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Simi Abdul Ghani mengesahkan tangkapan itu dan suspek dijangka direman esok. — BERNAMA

Leave a Reply