KUCHING: Untuk mengelakkan berulangnya tragedi pembuangan bayi di negeri ini, Kerajaan Negeri telah menjalinkan kerjasama strategik dengan Hospital Pakar KPJ Kuching bagi melaksanakan inisiatif ‘Projek KPJ Baby Hatch’.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Fatimah Abdullah berkata, projek yang dijangka dilancarkan pada 20 Januari depan ini adalah usaha murni untuk mengelakkan tragedi pembuangan bayi di tempat yang tidak selamat.

“Pada masa yang sama ia dapat mengurangkan kematian bayi yang tidak dikehendaki serta menyelamtkan nyawa bayi yang tidak minta untuk dilahirkan tetapi mempunyai hak untuk hidup.

Sehubungan itu katanya, mana-mana ibu muda yang hamil luar nikah dan mereka yang telah terlanjur boleh menyertai program ini, yang sekali gus dapat mengelakkan berlakunya kes-kes penjualan bayi secara haram yang dilaporkan berlaku di negara ini oleh sebuah stesen berita antarabangsa.

Menurut Fatimah, pihaknya memandang serius kes-kes remaja hamil luar nikah di Sarawak dan komited dalam memberi kesedaran tentang perkara ini.

“Saya amat bersyukur kerana sehingga Oktober lalu, hanya sekitar 2,087 kes dilaporkan di negeri ini pada tahun ini berbanding 4,073 kes yang dilaporkan pada tahun 2013,” katanya ketika sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri semalam.

Fatimah menjelaskan, pada tahun hadapan kementeriannya dengan jawatankuasa One Stop Teenage Pregnancy akan mempergiat usaha pencegahan dan advokasi dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah menengah di Sarawak melalui program Kesedaran dan Advokasi Pendidikan Seksual atau KAPS.

“Kita memandang serius kes-kes kehamilan yang berakhir dengan pembuangan bayi ini.

Katanya, jiwanya amat meruntun apabila dkejutkan dengan tragedi buang bayi di Tudan, Miri pada 24 November lalu — tragedi kesepuluh yang dicatatkan ada tahun ini.

“Semasa ditemui di atas tanah dalam semak, bayi yang masih bertali pusat itu sedang menangis, dikerumuni semut dan hanya berbalut dengan kain sarung.

Sehubungan itu jelasnya, ‘program baby hatch’ ini diharap dapat menjadi program rintis dan alternatif terbaik kepada remaja-remaja ini, agar bayi yang mereka tidak ingini atas sifat tidak bersedia dapat diberi peluang untuk terus hidup. – Sarawakvoice

Leave a Reply