KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad  mempunyai `super’ ego yang kuat dan sentiasa mahu menang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagaimanapun, Najib  dalam temu bual khas bersama Perdana Menteri dalam rancangan Soal Jawab sempena #PAU2016 yang disiarkan oleh TV3, malam tadi berkata, beliau mempunyai kaedah dan cara untuk mendepani  bekas Perdana Menteri itu serta serangan dilakukan ke atasnya, dalam usaha untuk menumbangkan beliau.

Najib berkata demikian ketika ditanya mengenai serangan demi serangan yang dilakukan  pembangkang, namun beliau sentiasa tenang dalam  menghadapi serangan itu.

Dr Mahathir sejak sekian lama telah mengkritik kepemimpinan Najib dan kini berada di platform pembangkang bagi memastikan agendanya tercapai.

“Saya merasa serasi dengan sokongan dalam parti, maknanya apa yang cuba dibuat untuk tumbangkan saya dalam parti tak berjaya,” kata Najib dalam temu bual itu.

Moderator rancangan temu bual berkenaan ialah  Hamdan Ahmir dan turut disertai oleh  Editor Utusan Malaysia  Datuk Zulkefli Hamzah dan personality televisyen  RTM Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.

Menurut Najib, semua itu adalah mainan politik termasuk usaha mendapatkan tandatangan menerusi deklarasi rakyat serta mempersembahkan kepada Majlis Raja-raja, namun gagal.

Melihat kepada keadaan itu, Najib berkata, pilihan yang ada bagi pembangkang ialah menyerang beliau kerana untuk menumbangkan sebuah parti, mereka perlu menyerang presidennya.

Najib turut ditanya mengenai penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Menurut Perdana Menteri, kesannya tidak sehebat ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim keluar dari UMNO dan menubuhkan PKR.

“Kalau kita kaji fenomena PKR ditubuhkan, Anwar keluar UMNO, gelombang itu lebih, daripada hari ini, kesan tidak sama, tapi di mana bahagian Parlimen ada orang tidak puas hati dan mereka kumpul orang seperti ini untuk menentang parti kita.

“Itu saya sedar tetapi `never underestimate your opponent’. Ini mesti ada dalam sikap UMNO. Bukan takut tetapi kita mesti lakukan apa yang patut kita lakukan untuk kekalkan kekuasaan yang ada,” katanya. – Sarawakvoice

Leave a Reply