PUTRAJAYA: Bot dwifungsi darat-air Amphibious Sealegs lebih efisien dan praktikal digunakan untuk operasi membantu semasa tragedi banjir.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak dan Sabah masing-masing mendapat sebuah bot Amphibious Sealegs dan APM Kelantan mendapat dua buah.

Manakala, dua lagi bot tersebut ditempatkan di ibu pejabat APM untuk digerakkan ke mana-mana lokasi lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata meskipun Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan banjir kali ini berskala kecil, namun kerajaan tetap bersedia membuat persiapan dalam skala besar.

Musibah banjir 2014 mengajar semua pihak, terutama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) agar lebih bersedia kerana skala bencana boleh berubah-ubah.

Bercakap pada sidang media selepas menyaksikan penyerahan enam bot penyelamat Amphibious Sealegs oleh Agensi Bencana Negara (Nadma) kepada APM pada Isnin, Shahidan berkata pihaknya juga sedia memindahkan penduduk yang diramal terjejas lebih awal sebelum banjir dijangka berlaku.

APM sebagai sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan Bantuan Pusat (JPBBP) peringkat nasional menyediakan latihan siap sedia untuk agensi keselamatan serta pihak NGO.

Seramai 11,800 anggota bersedia digerakkan untuk tiga jam pertama bencana melanda.

Sebanyak 382 bot, 96 lori dan 141 kenderaan pacuan empat roda berada dalam keadaan siap sedia untuk ke lokasi banjir. – Sarawakvoice

Leave a Reply