KUCHING: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Sarawak mempunyai Unit Khas menangani jenayah siber dan OPS Dadu besar-besaran dilancarkan bagi menangani jenayah judi termasuk judi siber.

Statistik menunjukkan wang tunai RM88,000 dan 826 mesin judi dirampas, sementara 496 ditangkap daripada 4,349 serbuan judi siber bagi tempoh 1 November 2015 hingga 31 Oktober 2016.

“Daripada 1,659 kes judi siber di Sarawak sebanyak 895 kes diberi kompaun oleh PDRM,” tegasnya.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan, Datu Dr. Penguang Manggil dalam jawapan kepada soalan Yussibnosh Balo (BN-Tellian) dan Ripin Lamat (BN-Lambir) pada sidang DUN Sarawak ke-18, Khamis berkata, “tidak dinafikan pengusaha premis hiburan menyalah guna lesen hiburan untuk mendapat keuntungan daripada kegiatan ini.”

Menurut Penguang jumlah lesen kafe siber dikeluarkan oleh 26 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sarawak sebelum ini sudah dibekukan pada 2004.

Beliau berkata, operasi bersepadu dan serbuan ke atas premis judi diteruskan oleh PDRM secara kerjasama dengan PBT, Sarawak Energy Berhad (SEB), Telekom dan agensi lain.

“Kita melibatkan pihak SEB atas sebab, apabila menjalankan serbuan SEB akan memotong bekalan elektrik ke premis berkenaan,” ujar beliau.

Sementara, dari semasa ke semasa PBT pula diarah memantau dan mengambil tindakan wajar jika didapati ada pengusaha menyalah guna lesen mereka. – Sarawakvoice