KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diminta menjelaskan sama ada beliau terlibat atau tidak dalam perjanjian melombong bijih mangan di Gua Musang, Kelantan.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, sepanjang beliau memegang jawatan Naib Presiden PAS, beliau tidak pernah dimaklumkan tentang adanya agihan daripada projek tersebut kepada parti.

Malah, katanya, sejak menjadi Ketua Penerangan PAS Pusat juga beliau tidak pernah mendengar adanya pembahagian hasil galian milik kerajaan negeri kepada parti.

“Tak tahulah selepas saya tidak lagi berada dalam kedua-dua jawatan itu, hal sebegini berlaku pula. Jadi, elok kiranya Presiden segera buat kenyataan rasmi,” katanya dalam satu kenyataan.

Dokumen surat aku janji antara syarikat Vigorous Global Sdn Bhd dengan Pejabat Presiden PAS  beralamat di Taman Melewar, Gombak, Selangor yang berlaku pada 10 Oktober 2013 menjadi viral di media sosial.

Turut tersebar beberapa foto menyerupai Abdul Hadi sedang melihat pelan lokasi serta dikatakan melakukan solat hajat ketika lawatan ke tapak projek.

Pihak syarikat bersetuju dan berjanji memberi sumbangan kepada Pejabat Presiden PAS sebanyak RM10 per metrik tan jika syarikat mendapat kelulusan dari kerajaan negeri.

Dokumen itu juga menyenaraikan anggaran jumlah sumbangan syarikat terbabit kepada Pejabat Presiden PAS yang mencecah RM200,000 sebulan dengan anggaran jumlah sebanyak RM10 juta bagi tempoh 50 bulan.

“Abdul Hadi tentu sekali perlu memberitahu apa yang sebenarnya berlaku agar pendedahan perjanjian itu tidak mencalarkan imej parti,” kata Mahfuz lagi.

Menurut beliau, perkara ini juga berkait dengan imej, maruah dan integriti PAS itu sendiri.

“Sudah tentu rakyat Kelantan khasnya akan marah bagaimana hasil bumi negeri boleh diagih kepada pejabat presiden,” ujarnya.

Katanya, pihak kerajaan negeri Kelantan juga tidak harus berdiam diri terhadap projek melombong mineral itu yang terletak di Lot PT6728 Mukim Relai di Daerah Chiku dengan anggaran kawasan diluluskan seluas 600 hingga 800 ekar itu.

“Ini dalam negeri Kelantan. Agihan kepada kerajaan negeri yang hanya RM5 per metrik tan yang lebih rendah berbanding untuk parti politik akan dilihat ramai pihak sebagai tidak adil.

“Tentu rakyat Kelantan akan marah. Sepatutnya, kerajaan negeri yang mendapat hasil yang lebih bukan pihak lain. Bahkan, rakyat melihat ada unsur-unsur rasuah apabila seolah-olah pihak PAS yang menolong mendapatkan projek melombong itu dengan syarat beri RM10 per tan metrik kepada parti. Jangan nanti orang kata, inilah budaya politik matang dan sejahtera,” tambahnya. – Sarawakvoice