S’wak bina Muzium baru RM400 juta kuatkan sektor pelancongan

KUCHING: Sarawak sebagai salah sebuah negeri terbaik memelihara koleksi sejarah di Asia Tenggara, sedia membina muzium baru bernilai RM400 juta.

Muzium baru ini mampu menambah koleksi pelancongan termasuk mempamerkan warisan dan budaya tempatan serta sejarah negeri ini.

Hal ini memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan dalam merancak dan melestari ekonomi Sarawak.

Demi meneguhkan industri pelancongan, Kerajaan Negeri sedia menambah peruntukan membina lebih banyak prasarana.

Bahkan, Kementerian Pelancongan mendapat tiga kali ganda peruntukan termasuk dana untuk mempromosikan sektor pelancongan

Bercakap pada Majlis Penghargaan Kakitangan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan Majlis Anugerah Kecemerlangan Staf, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata Kerajaan Negeri sedia meningkatkan prasarana di negeri ini yang menggambarkan seni tempatan dan nilai budaya.

Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berkata, “Kami berunding dengan kerajaan agar kementerian kami mengambil alih bangunan dan menghubungkannya dengan jambatan ‘S’ hingga ke Fort Margherita.”

Merancakkan prasarana pelancongan menjadi modal tarikan pelancong, Kerajaan Negeri juga mahu membina Pusat Wallace di Damai yang dikenal pasti dapat menjadi penghubung dengan Pusat Darwin di Muzium Semula Jadi, di London.

Abang Johari mengharapkan semua pihak bersatu hati dan saling menyokong menjadikan Sarawak “pemain baru” dalam industri pelancongan rantau ini. – Sarawakvoice