Wi-Fi percuma dalam bandar pintar DBKU rancakkan pelancongan, perniagaan

KUCHING: Dalam perkembangan hari ini, perkaitan antara prasarana telekomunikasi dengan industri pelancongan dan dunia perniagaan sangat rapat.

Ketika Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) rancak membangunkan Pelan Induk Kuching Bandar Pintar, justeru pembangunan telekomunikasi dengan kelajuan sewajarnya amat diperlukan.

15078526_1267189236687976_1252314614253336154_n

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, peningkatan perkhidmatan rangkaian telekomunikasi penting lebih-lebih lagi apabila perubahan teknologi membenarkan telefon pintar mengakses maklumat di talian.

Johari yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berkata, perkara awal yang dikehendaki oleh pelancong yang mengunjungi sesebuah tempat ialah keperluan wifi di penginapan masing-masing.

Bercakap pada majlis MoU antara PPTelecom-DBKU untuk membangunkan “DBKU Metropolitan Kuching Wi-Fi” pada Khamis, Abang Johari berkata, beliau menggesa PPTelcom meningkatkan kelajuan internet agar penggunaannya lebih cekap.

DBKU Metropolitan Kuching Wi-Fi dimulakan di Tebingan Kuching sehingga Padang Merdeka, Hospital Umum Sarawak, Pasar raya The Spring dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Tempat lain dalam kawasan DBKU yang menikmati perkhidmatan internet secara percuma ini ialah Satok dan Petra Jaya.

Perjanjian ditandatangani oleh Pengarah Urusan PPTelecom, Dato Ir. Abang Jemat Abang Bujang dan Datuk Bandar DBKU, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.

Abang Jemat dalam ucapannya berkata, fasa pertama projek dilaksanakan dalam tempoh enam bulan selepas MoU, menelan kos RM10 juta.

“Kita berharap kewujudan Wi-Fi percuma ini memberi manfaat kepada penduduk bandar raya Kuching termasuk perniagaan domestik,” kata Abang Jemat. – Sarawakvoice