Kuching bakal nikmati kemudahan internet percuma

KUCHING: Rakyat Sarawak bakal menikmati kemudahan wifi percuma bagi kemudahan penduduk setempat dan pelancong di sekitar bandar raya ini, tidak lama lagi.

Menurut Pengarah PP Telecommunication Sdn Bhd (PPTelecom)., Datuk Ir. Abang Jemat Abang Bujang, kemudahan itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk mewujudkan komuniti celik teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), di negeri ini.

ff3629f0-9568-4896-8ed9-9c113ca27181

“Jika menjadi kenyataan kelak, negeri ini akan muncul sebagai negeri ketiga selepas Pulau Pinang dan Johor, menyediakan khidmat wifi percuma kepada rakyatnya,” katanya.

Bertemakan ‘Wifi Percuma Untuk Rakyat’, program ini dirintis secara bersama oleh PPTelecom dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri ke arah mewujudkan komuniti celik ICT

Khidmat itu dijadualkan bermula dalam tempoh enam bulan, dengan penumpuan kini kepada penyediaan infrastruktur yang membabitkan peruntukan kira-kira RM10 juta.

“PPTelecom berhasrat menyediakan kemudahan wifi percuma ke seluruh negeri dan projek ini adalah sebagai permulaan.

“Ia dianggap sebagai projek perintis membabitkan kawasan pentadbiran DBKU sebelum diperluaskan ke kawasan lain,” katanya selepas mewakili PPTelecom pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (Mou) `Wifi Percuma Untuk Rakyat’, di sini pagi semalam.

Mou tersebut disaksikan Timbalan Ketua Menteri, yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg.

Fasa pertama kemudahan itu membabitkan Tebingan Kuching, Hotel Merdeka Palace & Suites, Padang Merdeka, Hospital Umum Sarawak (HUS), Pusat Beli Belah The Spring dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).

“Setiap lokasi wifi ini mungkin disediakan dengan internet berkelajuan antara 5 hingga 15mbps.

“Namun jika terdapat keperluan untuk kelajuan internet ini ditingkatkan, kita akan menaik taraf kepada 50 hingga 150mbps.

“Oleh itu, kita perlu menjalankan kajian terlebih dahulu sebelum menetapkan kelajuan internet di setiap lokasi,” katanya.

Bagi menjayakan projek ini, PPTelecom akan turut menjalinkan kerjasama strategic dengan Foxcom dan Infocus & Fuyu, masing-masing dari China serta Amerika Syarikat (AS), katanya lagi. – Sarawakvoice