Dihukum makan ulat jika gagal capai sasaran jualan

HANZHONG: Sekitar 50 pekerja berpakaian seragam syarikat perabot berkumpul di kawasan syarikat mereka di Kota Hanzhong Shaanxi, pada pekan Isnin lepas.

Tidak lama kemudian, datang seorang lelaki membawa dua bungkusan.

Sebuah bungkusan mengandungi kayu penyepit, gelas dan dua botol wain.

Manakala, bungkusan yang satu lagi berisi ulat berwarna kuning.

Setelah membaca beberapa nama pegawai yang tidak mencapai sasaran jualan, lelaki tersebut menuangkan wain ke dalam setiap gelas serta memasukkan seekor ulat dan meminta pegawai berkenaan meminumnya.

Lima hingga enam pegawai mengikut perintah lelaki tersebut lalu meminum wain berisi ulat tersebut.

Menurut laporan Straits Times, pada Selasa, syarikat perabot rumah di China itu mempunyai peraturan menjijikkan dengan menghukum pegawainya yang tidak mencapai sasaran jualan dengan memakan ulat.

Salah seorang pegawai syarikat menceritakan, setiap pagi pekerja diminta melaporkan sasaran kerjanya kepada penyelia.

Bagi pegawai yang gagal mencapai sasaran, keesokan harinya akan mendapat hukuman.

“Hukuman hari ini ialah makan ulat yang dibeli dari pasar. Empat ekor ulat jika pegawai kehilangan seorang pelanggan,” ujar pegawai tersebut.

Menurut sumber, setiap pegawai menandatangani jaminan masing-masing jika gagal mencapai sasaran mereka sedia menerima hukuman secara sukarela. – Sarawakvoice