Limpa ikan terusan jantan RM60,000 sekilogram jana kuasa sehebat pacuan Proton Persona baharu

KABONG: Mempunyai khasiat yang tinggi dalam dunia perubatan, sekilogram limpa ikan terusan jantan atau ‘lupa ikan’ (bahasa Sarawak) ditawarkan harga menyamai harga sebuah kereta Proton Persona baharu.

Dengan nilai RM60,000.00 sekilogram, bunyinya seakan tidak masuk akal tapi itulah hakikatnya apabila pembeli bahan tersebut tampil membuka tawaran sehebat itu di sekitar kawasan di daerah ini kini.

Tawaran ‘harga gila’ itu dinyatakan sendiri oleh pemborong makanan eksotik itu kepada Sarawak Voice (SV) hari ini.

Menurut pembeli bahan berkenaan, tawaran harga yang sedemikian hebat adalah kerana limpa tersebut sangat berguna lantaran khasiatnya yang amat tinggi sebagai bahan campuran utama dalam dunia perubatan alternatif.

Limpa berkenaan kata pemborong berkenaan dijadikan bahan campuran di dalam hidangan sup bagi tujuan penguat pinggang, awet muda dan penguat tenaga batin.

Lantaran khasiatnya yang telah diperaku dan terbukti kepada pengamalnya, tidak hairan pengamal perubatan tradisional menawarkan harga setinggi itu untuk bahan tersebut.

Menurut pembeli berkenaan, selain limpa ikan jantan, limpa ikan terusan betina juga berguna. Namun harganya hanya sekitar RM5,000.00 sekilogram, tidak sehebat harga limpa ikan jantan.

Manakala bagi limpa ikan panjang ia dibeli dengan harga RM1,200.00 sekilogram.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Anji, 44, memberitahu dia baru-baru ini memperoleh seekor ikan terusan jantan dan telah menjual limpa yang telah dikeringkan.

“Saya dapat seekor ikan terusan jantan dan limpa ikan tersebut saya keringkan dalam tempoh dua hari. Setelah kering telah dan ditimbang beratnya hanya sekitar 50 gram lebih. Apabila dijual saya dibayar RM2,700.00.

“Harga yang ditawarkan berbeza mengikut keadaan limpa dan keadaan limpa yang dikeringkan. Semakin elok keadaannya maka semakin tinggi harga yang diberikan,” ujarnya.

Begitupun katanya, bukanlah mudah untuk memperoleh ikan terusan jantan. Biasanya nelayan dan kaki pancing memperoleh ikan terusan betina sahaja.

Justeru tidak hairanlah jika ada kaki pancing sanggup mengorbankan banyak masa semata-mata untuk memperoleh ikan terusan jantan.

Selain sebagai pengisi hobi, isi ikan boleh dijadikan hidangan manakala limpanya boleh dijual membawa pulangan lumayan. – Sarawakvoice