Kesian… Lori terbalik, pemandu menangis gagal halang pencuri oren

NANCHANG: Bukan adegan luar biasa di China melihat orang tertarik untuk berebut mengutip barangan yang bertaburan atau bersepah tumpah dari lori yang terlibat kemalangan jalan raya.

South China Morning Post pada Khamis lepas yang memetik berita portal Kankannews.com melaporkan, penduduk setempat mengambil kesempatan mengutip dan cuba mencuri limau mandarin yang bertaburan dari sebuah lori yang kemalangan di lebuh raya di timur China.

Penduduk kampung yang tinggal berhampiran tepi jalan Yichun dalam wilayah Jiangxi bergegas ke tempat kejadian selepas lori di luar kawalan terbabas lalu terbalik menumpahkan limau mandarin sepanjang kawasan kejadian di lebuh raya pada Ahad lepas.

Kedatangan mereka bukannya mahu membantu sebaliknya mengutip dan mencuri limau mandarin yang bertaburan di atas jalan raya itu.

Pemandu dan anak saudaranya yang membawa limau mandarin dari wilayah Hunan menuju wilayah Jiangxi cuba menghentikan perbuatan penduduk kampung mencuri buah-buahan tersebut.

Malangnya mereka diserang dan dipukul oleh penduduk berkenaan yang cuba menghalang mereka mendapatkan semula buah dalam karungan guni yang dikumpul oleh si pencuri terbabit.

Mengenang nasib malangnya, pemandu berkenaan sangat sedih lalu membongkok di jalan raya.

Rakaman menunjukkan pemandu berkenaan menangis selepas tidak berkuasa menghalang perbuatan penduduk kampung berkenaan.

Keadaan terkawal apabila penduduk pergi meninggalkan tempat kejadian, sebaik sahaja polis tiba di tempat kejadian.

Pegawai polis mengambil masa hampir sepanjang petang membantu memungut limau mandarin yang bertaburan serta membersihkan tapak kejadian.

Pemandu tersebut memberitahu wartawan, dia menangis kerana sedih dengan kejadian yang menimpanya yang pertama kali melakukan perjalanan jauh menghantar buah berkenaan.

Dalam kejadian Ogos 2015 yang lepas, penduduk kampung di wilayah Henan turut melakukan hal yang sama, bergegas mencuri epal apabila lori yang membawa 20 tan buah-buahan bertaburan dari lori yang terbalik.

Kejadian itu dihentikan hanya selepas polis menahan tiga penduduk kampung. – Sarawakvoice