Pas: Sarawak, Sabah punya pilihan, tidak pakai atau tidak Akta 355

KUALA LUMPUR:  Pas berkata, negeri Sabah dan Sarawak seperti negeri-negeri lain, mempunyai pilihan sama ada hendak menerima pakai atau tidak pindaan Akta 355 yang dipinda nanti.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kerajaan negeri  boleh menerima pakai peruntukan Akta 355 yang dipinda nanti bagi menetapkan hukuman terhadap kesalahan yang diperuntukkan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah negeri masing-masing.

“Negara Malaysia berkonsepkan federalisme, membahagikan bentuk kerajaan negeri dan Pusat dalam sistem pemerintahannya. Perlembagaannya menetapkan batas bidang kuasa Kerajaan Pusat dan kerajaan Negeri termasuk dalam aspek kehakiman dan perundangan,” kata Hadi dalam satu kenyataan.

Akta 355 yang dibuat berdasarkan Jadual 9 sebagai ‘Punca Kuasanya adalah berkaitan dengan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang ditubuhkan di bawah Perlembagaan Negeri.

“Perlu diingat dari segi sejarahnya semasa Akta 355 mula dibentangkan di Parlimen pada tahun 1965,  ia tidak ditentang oleh Ahli-ahli Parlimen bukan Islam, termasuklah mendiang Lee Kuan Yew (MP Singapura) yang berada dalam Parlimen pada ketika itu,” ujarnya.

Pada tahun 1984, katanya,  semasa Akta 355 dipinda, apabila dibawa ke Dewan Negara, RUU tersebut telah disokong oleh Dr James P. Ongkili (MP Tuaran) yang beragama Kristian.

Justeru, bukan Islam, katanya, tidak wajar menentang RUU

“Kalangan bukan Islam sepatutnya meraikan perkara ini dan menghormati saudara mereka yang berada dalam satu masyarakat majmuk dan satu negara serta tanah air dalam perkara yang tidak ada kena mengena dengan urusan mereka. Jangan sengaja mencari sebab untuk menimbulkan ketegangan masyarakat majmuk dan harmoni dengan tiba-tiba menentang RUU 355 yang bertujuan menaikkan taraf Mahkamah Syariah,” katanya.

Hadi berkata, tiada alasan undang-undang dan politik bagi menentang RUU 355 melainkan mahu bermusuh terhadap Islam dan penganutnya atau menjual diri menjadi alat kepada musuh Islam dengan harga yang sangat murah. – Sarawakvoice