99 hospital berhadapan risiko keselamatan kebakaran – Ketua Pengarah Bomba

KUCHING: Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia telah mengenal pasti sekurang-kurangnya 99 bangunan hospital di negara ini yang berpotensi berhadapan dengan risiko kebakaran .

Ketua Pengarahnya, Datuk Wira Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, ada antara bangunan hospital ini dibina pada era penjajahan, justeru reka bentuknya tidak berapa sesuai dari aspek keselamatan kebakaran.

“Sehubungan itu, ia akan menjadi utama perbincangan jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk melihat perkara ini.

“Jawatankuasa yang dianggotai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kesihatan dan beberapa agensi lain inu akan bersidang dalam sehari dua ini ,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pemakaian Pangkat Penolong Pesuruhjaya Kehormat dan Majlis Pentauliahan Bomba Komuniti Media Sarawak di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, dekat sini petang tadi.

Dua anggota Kabinet Sarawak, masing-masing Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Komunikasi), Dr Abdul Rahman Junaidi dan Menteri Muda Ekonomi Luar Bandar (Kawasan Pedalaman) dan Perladangan, Datuk Francis Harden Hollis menerima pangkat kehormat Penolong Pesuruhjaya Bomba.

“Kita ada rekod. Kebanyakan hospital ini kita telah periksa. Malah kita ada maklumat mengenai hospital-hospital ini.

“Mungkin jawatankuasa sendiri akan turun melihat hospital-hospital ini,” katanya lagi.

Menurutnya, kebanyakan bangunan di negara ini, termasuk menara pencakar langit yang dibina sebelum tahun 1984, berhadapan risiko keselamatan kebakaran kerana kebanyakannya tidak memiliki sistem pencegahan kebakaran yang sesuai.

Untuk tujuan itu katanya, pihaknya terpaksa memikirkan alternatif lain, termasuk meningkatkan jumlah pengesan asap, perenjis air dalam bangunan, dan sebagainya. – Sarawakvoice