Jangan main-main sebar maklumat palsu dalam media sosial, anda mungkin tidur dalam lokap – Pesuruhjaya Polis Sarawak

KUCHING: Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor hari ini menegaskan, polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pengguna media sosial, terutamanya facebook yang memuat naik atau berkongsi maklumat yang tidak benar dan boleh menimbulkan keresahan orang ramai.

Menurutnya, polis telah berjaya melakukan tiga tangkapan untuk dua kes bebeza berkaitan dengan penyebaran maklumat yang tidak sahih dan palsu ini, dan siasatan kes-kes ini sedang berjalan.

“Saya telah berulang kali memberi nasihat dan amaran berhubung perkara ini.

“Media sosial seperti facebook ini adalah untuk kemudahan kita dan bukannya untuk mengucar-kacirkan keadaan dan juga ketenteraman awam.

Menurutnya, pihaknya kesal dengan penyebaran maklumat yang tidak lojik, seperti kanak-kanak dibunuh untuk diambil organ, yang boleh menyebabkan masyarakat khuatir.

“Kalau kita tidak pasti, kita boleh bertanya kepada pihak-pihak yang berkuasa seperti Ketua Polis Daerah yang ada di sana.

“Penyebaran maklumat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini seolah-olah perkara itu telah disahkan berlaku.

Secara lojik kata Mazlan, sekiranya kes tersebut benar-benar wujud, orang yang pertama memaklumkannya kepada masyarakat adalah pihak polis, agar mereka lebih berwaspda.

“Oleh itu, saya nasihatkan kelompok ini agar jangan main-main. Saya dah beritahu banyak kali, dan kalau terpaksa menghadapi tuduhan, hadapilah. Dan kalau terpaksa menginap di lokap, terpaksalah!

“Kita tidak mahu perkara ini berlaku, ” katanya lagi.

Mazlan merujuk kepada kes penyebaran maklumat palsu dalam facebook kononnya dua kanak-kanak telah dibunuh oleh empat lelaki dan dilarikan organnya di Bau baru-baru ini.

Dua wanita telah ditahan polis untuk membantu soal siasat berhubung kes ini.

Satu lagi kes yang membabitkan facebook ialah berkaitan akaun “ Sarawak Keluar Malaysia 2021” yang memfitnah Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem sebagai berusaha membawa Sarawak keluar dari Malaysia sekiranya tuntutan autonomi negeri ini gagal.

Pemilik akaun tersebut, Yew Beng Kiang atau Beng Kor kemudian ditangkap, selepas polis menerima 13 aduan dan kini sedang menjalani perintah reman selama lima hari di sini. – Sarawakvoice