Mahathir umpama kereta antik ke perlumbaan Formula 1

Sudah lama Tun Dr mahathir Mohamad tidak berkunjung ke Parlimen. Jadi, apabila bekas Perdana Menteri yang memerintah selama 22 tahun itu kembali ke Parlimen semalam, sudah tentu ada mesej jelas  yang beliau hendak hantar kepada kepemimpinan negara dan rakyat.

Semalam merupakan pertama Mahathir yang kini sudah berada di pihak pembangkang dan menjadi pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjejakkan kaki ke bangunan itu.

Kunjungan Mahathir itu tentu mewujudkan semacam deja vu, sentimen dan perasaan lama kembali menyusup ke dalam ingatan dan fikirannya.

14947458_368676163475057_3261517240210190774_n

Maklumlah, beliau Perdana Menteri paling lama berkuasa dan lebih dua dekad keluar masuk ke Parlimen.

Mahathir menjadi Perdana Menteri dari 1981 hingga 2003 dan mengambil tindakan tegas terhadap pembangkang ketika rejim pemerintahannya.

Mahathir muncul di parlimen bersama pemimpin pembangkang untuk menghadiri mesyuarat khas berkaitan hak-hak dan kekebalan anggota parlimen.

Mahathir turut diiringi bekas musuh ketatnya dalam politik, iaitu Lim Kit Siang (DAP) dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Tidak pernah terbayang perkara sedemikian boleh berlaku kerana suatu waktu dahulu terutama selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998.

Namun itulah politik. Tiada musuh dan teman yang kekal kerana yang kekal ialah kepentingan. Musuh dapat jadi kawan dan kawan dapat jadi musuh.  

Turut hadir bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas naib presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Tidak dapat dibayangkan, apa agaknya komen Mahathir jika Perdana Menteri sebelum beliau berbuat demikian.

Pasti Mahathir yang terkenal dengan sikap sinis dan lantang bersuara itu akan membidas dan mengkritik tindakan berkenaan, dan disokong oleh juak-juaknya.

14963269_368676116808395_4343161005387308876_n

Maksudnya, Mahathir tidak akan membenarkan perkara sedemikian berlaku, apatah lagi jika terdapat usaha untuk bekerjasama dengan pembangkang.

Jadi, tidak hairanlah apabila Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa menyifatkan kedatangan Mahathir ke bangunan parlimen semalam seperti “membawa kereta antik ke perlumbaan Formula 1”.

Itu satu perbandingan yang amat tepat.

Mahathir sudah berusia 92 tahun, tetapi pada usia itu Mahathir masih mahu menggagahkan dirinya kerana agendanya hanya satu: memastikan agendanya tercapai.

Annuar memberitahu pemberita di lobi Parlimen semalam bahawa kemunculan bekas Mahathir bersama-sama anggota parlimen daripada pembangkang adalah “isu kecil”.

“Jawapan saya sangat mudah – membawa Dr Mahathir ke parlimen seperti bawa kereta antik ke perlumbaan F1.

“Cantik untuk dilihat tetapi tidak relevan untuk berlumba,” katanya.

Sesungguhnya, bagi Mahathir yang kini tertekan mahu membuktikan dirinya masih punya pengaruh dan wibawa sedangkan dengan perbuatannya itu beliau merosakkan imej dan wibawanya sendiri. – Sarawakvoice