Najib sambut Presiden Turkmenistan, diberi sambutan rasmi

PUTRAJAYA: Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedov, yang dalam lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia, diberi sambutan rasmi di Putra Perdana di sini hari ini.

Berdimuhamedov disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sejurus ketibaannya.

Selepas lagu kebangsaan Turkmenistan dan Malaysia dimainkan, presiden itu memeriksa kawalan kehormat daripada 106 anggota dan pegawai daripada Batalion Pertama, Rejimen Askar Melayu Diraja.

Berdimuhamedov, yang diiringi Najib diperkenalkan kepada menteri kabinet, pegawai kanan kerajaan dan diplomat asing yang hadir.

Najib dan Berdimuhamedov kemudian mengadakan perbincangan.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata kedua-dua pemimpin dalam mesyuarat itu akan melakukan penilaian dalam hubungan dua hala, termasuk kerjasama dalam bidang minyak dan gas, selain daripada meneroka bidang lain yang kedua-dua negara boleh bekerjasama.

Petronas terlibat secara aktif di Turkmenistan.

Kenyataan itu berkata mesyuarat itu juga merupakan satu peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk bertukar-tukar pandangan dalam pelbagai isu global dan serantau yang menyentuh kepentingan bersama.

Najib dan Berdimuhamedov dijadualkan menandatangani satu kenyataan bersama dan menyaksikan majlis menandatangan pindaan protokol dalam Perjanjian mengenai Ekonomi, Saintifik dan Kerjasama Teknikal selain daripada memorandum persefahaman kerjasama dalam bidang sukan, bagi tujuan meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara.

Ini adalah lawatan kedua Presiden Berdimuhamedov ke Malaysia. Lawatan pertama beliau adalah pada 2011. — BERNAMA