Sarawak keluar Malaysia: Cubaan lagakan Adenan dengan Kerajaan Persekutuan

KUCHING: Pejabat Ketua Menteri Sarawak hari ini menafikan bahawa Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem pernah mengeluarkan kenyataan bahawa negeri ini akan keluar dari Malaysia sekiranya tuntutan autonominya tidak dilayan atau tidak dikembalikan oleh Kerajaan Pusat.

Pejabat itu sebaliknya menyifatkan tindakan penulis dan penyebar kenyataan yang menjadi viral dalam laman sosial sekarang ini sebagai berniat jahat, yang bertujuan untuk melaga-lagakan pentadbiran di antara kedua-dua kerajaan yang selama ini terjalin akrab.

Dalam kenyataan rasmi dikeluarkan sebentar tadi, ia turut menegaskan bahawa Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan yang dimuat naik akaun Facebook ‘Sarawak Keluar Malaysia’.

“Dakwaan itu tidak benar dan tidak berasas sama sekali. Ia secara terang-terangan bertujuan menjatuhkan reputasi Ketua Menteri, selain cubaan menjejaskan hubungan baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Muat naik status dalam akaun Facebook ‘Sarawak Keluar Malaysia 2021’ itu berusaha untuk membayangkan bahawa Ketua Menteri mengecam pentadbiran Pusat dan UMNO berhubung masalah politik dan sosial yang melanda negara ketika ini.

Malah status tersebut turut menyebut, jika kuasa autonomi Sarawak tidak dikembalikan, maka negeri ini tidak ada pilihan lain selain keluar daripada gabungan Malaysia, dengan memaparkan gambar Adenan seolah-olah sedang berucap mengeluarkan kenyataan tersebut.

919bd0ac-a750-424a-afe8-9be09721243c

Jelas kenyataan Pejabat Ketua Menteri lagi, Adenan berulang kali menegaskan pendiriannya bahawa Sarawak tidak akan berpisah dari Malaysia.

“Namun ia tidak bermakna negeri ini tidak boleh menuntut hak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia, Laporan Perjanjian Jawatankuasa Antara Kerajaan dan Laporan Suruhanjaya Cobbold.

Sehubungan itu, pejabat tersebut meminta orang ramai agar tidak mempercayai dakwaan seperti itu, apatah lagi ia sebenarnya merupakan hasutan segelintir pihak yang ingin mengaut keuntungan daripada isu semasa yang sedang berlaku sekarang. – Sarawakvoice

d4e9e8b5-b8fd-433c-941d-9e5c75484248